AFP

Seoul: Pemimpin parti pembangkang Korea Selatan, Lee Jae-myung ditikam di leher, pada Selasa, ketika bercakap dengan pemberita di bandar pelabuhan Busan, lapor agensi berita Yonhap.

Lee sedang berjalan dalam kerumunan wartawan selepas melawat tapak lapangan terbang baharu apabila seorang lelaki menolak dan menerpanya, memukul lehernya.

Kejadian disiarkan di saluran televisyen Korea Selatan.

Lee dilihat rebah ke tanah ketika orang ramai bergegas membantunya. Seorang lelaki kelihatan menekan sapu tangan pada leher Lee.

Pegawai polis dan orang ramai kelihatan bergelut dengan penyerang itu. Yonhap berkata, penyerang sudah ditangkap.

Ketua Parti Demokrat, Lee kalah kepada konservatif Yoon Suk Yeol dalam perlumbaan presiden yang sengit, pada 2022.

Seorang bekas pekerja kilang kanak-kanak yang mengalami kemalangan perindustrian sebagai remaja tercicir sekolah, Lee menjadi terkenal dalam politik dengan kisahnya yang berubah dari miskin kepada orang kaya.

Tetapi tawarannya untuk jawatan tertinggi parti turut dibayangi oleh rentetan skandal.

LEE Jae-myung terbaring di lantai selepas serangan itu. FOTO Yonhap / AFP
LEE Jae-myung terbaring di lantai selepas serangan itu. FOTO Yonhap / AFP

Lee mengelak penangkapan pada September apabila mahkamah menolak permintaan daripada pihak pendakwaan supaya dia ditahan sementara menunggu perbicaraan atas pelbagai pertuduhan rasuah.

Dia masih menghadapi perbicaraan atas tuduhan rasuah berhubung dengan firma yang disyaki memindahkan secara haram AS$8juta (kira-kira RM36 juta) ke Korea Utara.

Lee juga dituduh melanggar tugasnya, yang didakwa mengakibatkan kerugian 20 bilion won (AS$15 juta atau kira-kira RM69 juta) untuk sebuah syarikat yang dimiliki oleh bandar Seongnam, semasa berkhidmat sebagai datuk bandar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 11:22 AM