LELAKI melihat kereta rosak susulan hujan lebat di daerah Fangshan di Beijing pada 1 Ogos lalu. FOTO AFP
LELAKI melihat kereta rosak susulan hujan lebat di daerah Fangshan di Beijing pada 1 Ogos lalu. FOTO AFP
AFP

Beijing: Hujan yang melanda ibu negara China sejak beberapa hari lalu adalah yang paling lebat sejak 140 tahun lalu, kata perkhidmatan cuaca Beijing pada hari Rabu, ketika operasi pembersihan besar-besaran bermula.

Jutaan individu dilaporkan terkesan akibat cuaca ekstrim dan gelombang haba yang berpanjangan di seluruh dunia dalam beberapa minggu kebelakangan ini, iaitu fenomena yang didakwa saintis berlaku kerana perubahan iklim.

Perkhidmatan Meteorologi Beijing berkata, ibu negara itu baru sahaja mengalami hujan paling lebat dalam 140 tahun.

"(Jumlah taburan) hujan maksimum yang direkodkan semasa ribut ini, iaitu 744.8 milimeter (mm) berlaku di Takungan Wangjiayuan di Changping," kata perkhidmatan itu, sambil menambah jumlah terbesar yang direkodkan sebelum ini adalah 609 mm pada 1891.

Sekurang-kurangnya 11 individu maut dalam hujan di Beijing, lapor stesen CCTV pada Selasa, dengan puluhan lagi dilaporkan hilang.

Pusat banjir kini beralih ke wilayah jiran Hebei, Rabu lalu.

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan sampah yang dihanyutkan banjir di sungai di pinggir Beijing, di kawasan bersempadan dengan Hebei. FOTO AFP
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan sampah yang dihanyutkan banjir di sungai di pinggir Beijing, di kawasan bersempadan dengan Hebei. FOTO AFP

Gambar daripada udara diambil oleh AFP di bandar Zhuozhou di Hebei menunjukkan jalan dekat pusat beli- belah dilimpahi air keruh,

Gambar lain menunjukkan ladang di kawasan sekitarnya tenggelam sepenuhnya dan kawasan banjir menjangkau beberapa kilometer (km) panjangnya.

Seorang pekerja kilang cetakan berusia 34 tahun dikenali Liu berkata, air mula naik di daerah kilang Zhuozhou pada petang Isnin.

"Mula-mula kami cuba menyekat air, tetapi ia agak mustahil.

"Kami tidak dapat mengeluarkan sebarang peralatan atau bahan kilang kami ke tempat perlindungan. Kami terperangkap di dalam (kilang) sehingga tengah hari ini, sebelum diselamatkan," kata Liu kepada AFP.

AFP melihat penyelamat menggunakan bot untuk mengangkut mi segera, roti dan air minuman kepada penduduk.

Di daerah Fangshan di Beijing, di sempadan antara ibu negara dan wilayah Hebei, pasukan AFP melihat sebuah taman yang dinaiki air sepenuhnya, dengan banyak sampah yang dihanyutkan oleh hujan lebat yang tersekat berhampiran jambatan.

"Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini dalam lebih 40 tahun," kata seorang penduduk berusia 71 tahun bernama Li, enggan memberikan nama penuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 1:34 PM