Agensi

Beijing: Bandar paling utara di China, Mohe yang dikenali 'Kutub Utara China' merekodkan suhu terendah oleh stesen meteorologi tempatan iaitu -53 darjah Celsius (-63 Farenheit), pada Ahad.

Bandar yang terletak di wilayah Heilongjiang berhampiran dengan sempadan Rusia itu pernah merekodkan suhu terendah -52.3 darjah Celsius pada 1969, namun belum mengatasi rekod kebangsaan China dengan -58 darjah Celsius di bandar Genhe, Inner Mongolia, pada Disember 2009.

China Daily melaporkan, Mohe dianggap sebagai bandar paling sejuk di China dan tempoh musim sejuknya berlangsung selama lapan bulan.

Hasilnya, 'Kutub Utara' itu menarik pelancong sepanjang tahun melalui taman ais dan salji serta tempat bermain ski, malah lokasi itu pernah menganjurkan maraton musim sejuk.

Pada tahun ini, menjadi kebiasaan untuk bandar itu merekodkan suhu purata -15 darjah Celsius dan minggu lalu pihak berkuasa meteorologi China mengeluarkan amaran suhu lebih rendah dan angin sejuk.

Sementara itu, agensi berita Xinhua melaporkan beberapa kawasan di banjaran gunung Greater Khingan, yang merentangi Inner Mongolia dan Heilongjiang, menyaksikan rekod suhu rendah baharu.

Beijing News pula melaporkan penggunaan arang batu meningkat sebanyak satu pertiga di bandar itu, kerana cuaca yang terlalu sejuk dan syarikat pengeluaran kenderaan pula mengambil kesempatan menguji brek kenderaan mereka.

TANGKAP layar daripada video disiarkan CCTV menunjukkan telur yang membeku kerana cuaca terlampau sejuk.
TANGKAP layar daripada video disiarkan CCTV menunjukkan telur yang membeku kerana cuaca terlampau sejuk.

Seorang penduduk memberitahu Kanji Video bahawa tangannya kebas sebaik melangkah keluar dan keadaan berkabus kira-kira 100 meter yang menghadkan pemandangan.

Seorang pelancong mahu dikenali Li berkata, dia membuat perjalanan khas dari wilayah paling selatan China, Guangdong untuk merasai cuaca ekstrem.

Sementara itu, penyiar rasmi CCTV, menunjukkan seorang wartawan memecahkan telur di permukaan luar menyebabkan telur itu membeku dalam beberapa saat.

Secara umumnya, media memberi penghormatan kepada pekerja barisan hadapan termasuk polis, bomba, askar dan pekerja pembersihan jalan yang terus bekerja semasa musim sejuk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 10:42 AM