PENDUDUK mendirikan khemah di berhampiran Masjid Raed al-Attar di Rafah. FOTO AFP
PENDUDUK mendirikan khemah di berhampiran Masjid Raed al-Attar di Rafah. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Setengah juta rakyat Palestin berisiko kebuluran susulan serangan berterusan tentera zionis, kata Majlis Perbandaran Gaza pada Sabtu.

Agensi Anadolu melaporkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyifatkan situasi kemanusiaan sedang berlaku sebagai malapetaka kerana tentera rejim zionis sengaja menyasarkan infrastruktur berkaitan makanan dan air.

"Keadaan kemanusiaan di Gaza adalah bencana. Kekurangan bahan api turut mengganggu proses memindahkan mangsa yang cedera dan mengangkut mayat," kata jurucakap Majlis Perbandaran Gaza, Hosni Muhanna kepada Agensi Anadolu.

Mohana berkata, sesetengah peralatan pembinaan dan kenderaan menjadi tidak dapat digunakan akibat sasaran Israel ke atas garaj Majlis Perbandaran Gaza.

Menurutnya, mereka menghadapi kesukaran membuka jalan yang ditutup akibat pengeboman Israel.

"Kami tidak boleh menyediakan air kepada Hospital Al-Shifa.

"Krisis air dan makanan di pusat perlindungan semakin meningkat dengan pesat kerana bilangan mangsa yang datang ke pusat-pusat ini melebihi kapasiti," kata pegawai Palestin itu.

Muhanna berkata, infrastruktur itu sengaja disasarkan oleh tentera rejim Tel Aviv.

"Tidak mungkin juga untuk membersihkan sisa yang melimpah dari pembetung kerana kekurangan bahan api," katanya.

Israel meneruskan serangan ketenteraannya di Semenanjung Gaza pada 1 Disember selepas berakhirnya jeda kemanusiaan selama seminggu dengan kumpulan pejuang Hamas.

Sekurang-kurangnya 17,487 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 46,480 lagi cedera dalam serangan udara dan darat yang tidak henti-henti ke atas enklaf itu sejak 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 10:42 AM