FARAH Omar dan jurukamera Rabie Al-Maamari yang terbunuh dalam serangan Israel di Selatan Lubnan. FOTO Agensi (Al Mayadeen)
FARAH Omar dan jurukamera Rabie Al-Maamari yang terbunuh dalam serangan Israel di Selatan Lubnan. FOTO Agensi (Al Mayadeen)
Bernama-AA

Beirut: Dua wartawan yang bekerja untuk televisyen Al-Mayadeen Lubnan terbunuh dalam serangan Israel di kawasan Tayr Harfa di selatan Lubnan.

Agensi Anadolu melaporkan, Al-Mayadeen dalam satu kenyataan, berdukacita atas kematian wartawan Farah Omar dan jurukamera Rabie Al-Maamari.

Sebelum ini, seorang jurukamera Reuters terbunuh dalam tembakan Israel di selatan Lubnan.

Pada 13 November, Kabinet Keselamatan Israel meluluskan cadangan untuk menyekat saluran televisyen Al-Mayadeen dan menutup pejabatnya di Israel.

Sementara itu, dua wartawan Palestin turut terbunuh dalam serangan udara Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Isnin.

Anadolu memetik agensi berita rasmi Palestin, Wafa berkata, serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di Gaza City menyebabkan beberapa rakyat Palestin terbunuh, termasuk wartawan wanita Alaa' Taher al-Hasanat.

Seorang lagi wartawan wanita Ayat Khaddoura turut terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas rumahnya di bandar Beit Lahia, utara Semenanjung Gaza.

Menurut agensi berita itu, Khaddoura membuat siaran langsung di TV Al-Ghad Palestin sejurus sebelum rumahnya dibom.

Menerusi siaran itu, beliau berkata, "Ini mungkin video terakhir saya."

Lebih 60 wartawan Palestin terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Jumlah kematian akibat serangan Israel ke atas Gazameningkat kepada lebih 13,300 termasuk 5,600 kanak-kanak dan 3,550 wanita, sejak tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 11:27 PM