KECELAKAAN kereta api terburuk dalam tempoh dua dekat di India. FOTO AFP.
KECELAKAAN kereta api terburuk dalam tempoh dua dekat di India. FOTO AFP.
Reuters

Bhubaneswar, India: Siasatan rasmi mendedahkan punca kecelakaan kereta api di India, 2 Jun lalu disebabkan pekerja yang membaiki penghadang laluan silap dalam membuat sambungan pada sistem isyarat automatik rangkaian.

Bencana terburuk dalam dua dekad itu berlaku di stesen Bahanaga Bazar di Odisha, timur India yang mengorbankan 288 orang dan lebih 1,000 cedera.

Dalam laporan siasatan yang dilihat Reuters, penyiasat Suruhanjaya Keselamatan Kereta Api (CRS) berkata, perlanggaran pertama berlaku disebabkan pengubahsuaian pada litar isyarat untuk menyelesaikan masalah yang kerap dialami di penghadang laluan.

Katanya, kakitangan kereta api tempatan dengan tidak berpandu gambar rajah litar standard, telah membuat sambungan salah dalam sistem isyarat apabila mereka cuba mengeluarkan litar penghalang untuk dibaiki.

Ia juga menyebabkan sistem yang tidak berfungsi itu mengarahkan kereta api penumpang ke laluan kereta api barang.

Bulan lalu, penyiasat itu dilapor memfokus siasatan kepada kerja pembaikan penghadang laluan dan kemungkinan sambungan pada pintasan manual sistem isyarat.

Indian Railways yang juga rangkaian kereta api keempat terbesar di dunia, dikendalikan Lembaga Kereta Api, dengan ahli lembaga pengarahnya melapor kepada Kementerian Keretapi.

Rangkaian itu sedang menjalani transformasi $30 bilion dengan penggunaan kereta api baharu dan stesen moden di bawah dorongan Perdana Menteri Narendra Modi, bagi meningkatkan infrastruktur dan ketersambungan.

Namun kemalangan yang berlaku menimbulkan persoalan sama ada aspek keselamatan mendapat perhatian yang mencukupi.

Laporan siasatan CRS berkata terdapat kepincangan di pelbagai peringkat dalam jabatan isyarat dan telekom, selain prosedur operasi standard tidak dipatuhi semasa kerja pembaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 11:10 AM