FOTO fail menunjukkan keadaan di lokasi nahas tiga kereta api berhampiran Balasore di negeri timur Odisha itu. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan keadaan di lokasi nahas tiga kereta api berhampiran Balasore di negeri timur Odisha itu. FOTO AFP
AFP

Balasore, India: Kereta api penumpang dan barang beroperasi semula pada Isnin di lokasi bencana kereta api paling maut di India dalam beberapa dekad, yang menurut pegawai berpunca daripada kegagalan yang dikaitkan dengan sistem isyarat.

Kereta api melepasi serpihan gerabak yang remuk akibat kemalangan pada malam Jumaat lalu berhampiran Balasore di negeri timur Odisha, di mana hampir 300 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera.

Pegawai pada mulanya melaporkan angka kematian berjumlah 288 orang, tetapi kerajaan negeri Odisha menyemak semula angka itu kepada 275 selepas beberapa mayat tersilap dikira dua kali.

Daripada 1,175 mangsa yang cedera, 382 daripadanya masih dirawat di hospital, kata pihak berkuasa pada Ahad.

Bagaimanapun, ramai yang bimbang angka kematian masih boleh meningkat apabila pusat perubatan dibanjiri mangsa, dengan ramai daripadanya dalam keadaan serius.

Jaring hijau didirikan di kedua-dua belah landasan, melindungi serpihan gerabak daripada dilihat penumpang kereta api yang sudah beroperasi semula.

Kementerian kereta api berkata, kereta api pertama, kereta api barangan yang sarat dengan arang batu, beroperasi 51 jam selepas nahas.

Tidak jelas sama ada semua landasan dibaiki sepenuhnya, dengan kereta api pada Isnin hanya menggunakan laluan di salah satu landasan.

Terdapat kekeliruan mengenai turutan kejadian yang tepat pada hari Jumaat, tetapi laporan memetik pegawai kereta api mengatakan kesilapan isyarat menyebabkan Coromandal Express dari arah selatan, dari Kolkata ke Chennai, memasuki landasan sebelah.

Ia merempuh kereta api barang dan serpihanya menyebabkan sebuah kereta api ekspres yang bergerak ke utara dari hab teknologi India, Bengaluru ke Kolkata, tergelincir.

Menteri Kereta Api Ashwini Vaishnaw pada Ahad berkata, nahas itu berlaku disebabkan "perubahan yang berlaku semasa saling kunci elektronik", merujuk kepada istilah teknikal untuk sistem isyarat kompleks yang direka untuk menghentikan kereta api berlanggar dengan mengatur pergerakannya di landasan.

"Sesiapa yang melakukannya, dan bagaimana ia berlaku, akan diketahui selepas siasatan yang sewajarnya," katanya.

Perdana Menteri Narendra Modi melawat lokasi nahas dan penumpang cedera di hospital pada Sabtu dan berkata "tiada sesiapa yang bertanggungjawab" akan terlepas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 9:13 AM