YANG Huiyan. FOTO Agensi
YANG Huiyan. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Wanita terkaya di Asia, Yang Huiyan kehilangan separuh kekayaannya yang berjumlah hampir AS$24 bilion (kira-kira RM106.7 bilion) sepanjang tahun lalu apabila krisis melanda sektor hartanah China terus bertambah buruk, menurut Indeks Bilionair Bloomberg, minggu lalu.

The Guardian melaporkan Yang, pemegang saham majoriti dalam gergasi hartanah China, Country Garden menyaksikan nilai bersihnya menjunam kepada AS$11.3 bilion (kira-kira RM50.3 bilion) dalam setahun.

Keadaan itu menyaksikan nilai bersih Yang menjunam lebih daripada 52 peratus kepada A$11.3 bilion (kira-kira RM50.3 bilion), daripada A$23.7 bilion (kira-kira RM105.4 bilion) setahun lalu.

Sebagai tanda bahawa krisis itu merebak kepada pemaju yang sebelum ini dianggap kukuh, kekayaan Yang menerima kesan besar pada Rabu lalu.

Ia apabila saham Country Garden yang berpangkalan di Guangdong dan tersenarai di Hong Kong itu jatuh 15 peratus selepas syarikat itu mengumumkan ia akan menjual saham baharu untuk beralih kepada usaha mengumpul tunai.

Pelaburan China dalam pembangunan hartanah China jatuh sebanyak 5.4 peratus, tahun ke tahun, pada separuh pertama 2022.

Jualan hartanah China boleh menjunam sebanyak satu pertiga, kata penganalisis, apabila krisis semakin memuncak.

Yang mewarisi kekayaannya apabila bapanya iaitu pengasas Country Garden Yang Guoqiang memindahkan saham kepadanya pada 2005, menurut media kerajaan.

Beliau menjadi wanita terkaya di Asia, dua tahun kemudian, selepas tawaran awam permulaan (IPO) syarikat pemaju itu di Hong Kong.

Tetapi beliau kini hampir tidak kekal dengan gelaran itu, apabila hartawan gentian kimia Fan Hongwei mengikutinya dengan rapat dengan nilai bersih AS$11.2 bilion (kira-kira RM49.8 bilion), Khamis lalu.

Pihak berkuasa China membanteras hutang yang berlebihan dalam sektor hartanah pada 2020, menyebabkan pemain utama seperti Evergrande dan Sunac bergelut untuk membuat pembayaran dan memaksa pihak berkenaan untuk berunding semula dengan pemiutang ketika berada di ambang muflis.

Pembeli di seluruh negara, berang dengan pembinaan yang lambat dan lewat, sudah mula menahan bayaran gadai janji untuk rumah yang belum siap itu.

Walaupun Country Garden kekal tidak terjejas oleh kegawatan industri, ia menakutkan pelabur dengan pengumuman pada Rabu bahawa ia merancang untuk mengumpul lebih daripada AS$343 juta (kira-kira RM1.5 bilion) melalui penjualan saham, sebahagiannya untuk membayar hutang.

Hasil daripada jualan itu akan digunakan untuk "membiayai semula hutang luar pesisir sedia ada, modal kerja am dan tujuan pembangunan masa depan", Country Garden berkata dalam satu makluman kepada bursa saham Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 6:15 AM