PELURU berpandu balistik antara benua Hwasong-15 dilancarkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang, Korea Utara. FOTO KCNA/ Reuters
PELURU berpandu balistik antara benua Hwasong-15 dilancarkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang, Korea Utara. FOTO KCNA/ Reuters
AP

Seoul: Korea Utara melancarkan sepasang peluru berpandu balistik jarak di luar pantai timurnya, pada Isnin.

Tentera Korea Selatan memberitahu, peluru berpandu itu dilancarkan dua hari selepas Korea Utara meneruskan aktiviti ujian dengan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata, Korea Selatan mengesan pelancaran peluru berpandu itu dari bandar pantai barat dekat utara Pyongyang, ibu negara Korea Utara, pada pagi Isnin.

Ia berkata, Korea Selatan meningkatkan pengawasannya dan mengekalkan kesediaan dalam penyelarasan rapat dengan Amerika Syarikat (AS).

Pengawal pantai Jepun juga mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara.

Pengawal pantai, yang memetik maklumat Kementerian Pertahanan berkata, peluru berpandu pertama itu dipercayai sudah mendarat di dalam air. Kyodo News melaporkan, peluru itu mendarat di luar Zon Ekonomi Eksklusif Jepun.

Pada pagi Isnin, Kim Yo Jong, adik perempuan kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dalam satu kenyataan memberi amaran mengenai demonstrasi senjata berhubung apa yang disebutnya sebagai penempatan aset ketenteraan strategik AS ke Semenanjung Korea.

"Kekerapan menggunakan Lautan Pasifik sebagai lapangan tembak kami bergantung pada tindakan tentera AS.

"Kami amat menyedari pergerakan strategik tentera AS baru-baru ini yang semakin rancak di sekitar Semenanjung Korea," kata Kim Yo Jong dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 10:42 AM