TANDA biru Twitter. FOTO AFP.
TANDA biru Twitter. FOTO AFP.
AFP

San Fransico: Twitter menggugurkan label "sekutu negara" dan "dibiayai kerajaan" daripada akaun penggunanya, berdasarkan semakan AFP hari ini terhadap halaman berprofil tinggi di platform itu.

Banyak media utama dari Barat, Rusia, China dan negara lain yang sebelum ini mempunyai salah satu daripada label itu sudah tidak lagi memaparkannya.

Terdahulu, Elon Musk menunaikan janji untuk membuang tanda biru (blue tick) percuma daripada pengguna Twitter semalam, sekali gus membezakan antara pengguna berbayar dengan tidak.

Antara yang tiada tanda rasmi Twitter itu adalah Pope yang mempunyai pengikut 18.8 juta, namun Dalai Lama masih kekal sebagai 'akaun sah'.

Maklumat tertera "akaun ini disahkan kerana melanggan Twitter Blue dan mengesahkan nombor telefon."

Musk yang mengambil alih Twitter selepas melabur AS$44 bilion (RM195 bilion), sebelum ini berjanji untuk menggugurkan apa yang disifatkannya sebagai sistem 'tuan dan petani' yang mana wartawan, selebriti dan ahli politik diberi tanda biru yang kononnya bermakna akaun Twitter itu boleh dipercayai.

Beliau sebaliknya menawarkan untuk menjual tanda biru itu kepada sesiapa yang mahu membayar AS$8 (kira-kira RM35.50) sebulan, sebagai langkah yang dinyatakan tahun lalu untuk "mendemokrasikan kewartawanan dan memperkasakan suara rakyat".

Semalam, akaun berprofil tinggi, termasuk ramai wartawan AFP dan organisasi berita lain didapati tidak lagi bertanda biru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 2:57 PM