SUSPEK didakwa membunuh isterinya yang juga seorang peneman karaoke di pusat hiburan malam. FOTO Detik.com
SUSPEK didakwa membunuh isterinya yang juga seorang peneman karaoke di pusat hiburan malam. FOTO Detik.com
Agensi

Jakarta: Gara-gara isterinya enggan berhenti bekerja di pusat karaoke, seorang lelaki Indonesia sanggup membunuh dan membakar wanita itu dalam kereta.

Insiden itu berlaku di Pantura Desa Mundusari, Pusakanagara, Subang, Jawa Barat, Khamis lalu.

Suspek berusia 43 tahun didakwa membunuh isterinya Muflihah, 29, yang juga seorang peneman karaoke di pusat hiburan malam, Cirebon.

Ketua Polis Subang, Sumarni berkata, suspek membunuh mangsa yang ketika itu berada dalam kenderaan berdekatan kediaman mereka di Cirebon.

"Mangsa ditahan Polis Subang ketika mahu melarikan diri ke Jakarta.

"Suspek meninggalkan isterinya yang dibunuh dalam kereta sebelum membakarnya di sebuah bangunan kosong di Mundusari Pantura Subang," katanya dalam Detikcom.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek kesal dan tidak menerima kenyataan isterinya bekerja di pusat karaoke itu.

"Suspek meminta isterinya berhenti bekerja di situ, namun wanita itu enggan" katanya.

Katanya, suspek memang merancang membunuh mangsa dengan menyediakan senjata tajam seperti pisau sebelum menjemput mangsa dari tempat kerja.

"Suspek yang menjemput isterinya dari tempat kerja membunuh mangsa dengan menutup menggunakan kain dan menikam mangsa.

"Ini bermakna suspek sudah merancang pembunuhan itu," katanya.

Katanya, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat mangsa dari Hospital Bhayangkara Indramayu.

Sabit kesalahan, suspek bakal berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 2:31 PM