TANGKAP layar daripada video menunjukkan Imran Khan dibantu oleh beberapa individu selepas cedera akibat serangan berkenaan. FOTO Reuters
TANGKAP layar daripada video menunjukkan Imran Khan dibantu oleh beberapa individu selepas cedera akibat serangan berkenaan. FOTO Reuters
BERNAMA

Islamabad: Bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan dilaporkan stabil selepas terkena tembakan di kaki susulan cubaan membunuhnya, pada Khamis, ketika mengetuai perarakan ke Islamabad.

"Keadaannya stabil. Tekanan darahnya, tanda vital baik. Beliau boleh bercakap," kata Dr Faisal Sultan dari Hospital Shaukat Khanum di Lahore.

Imbasan X-ray dan analisis menunjukkan terdapat serpihan peluru di kakinya dan satu tulang kering retak, kata Dr Faisal.

Imran, 70, diserang di bandar Wazirabad di wilayah Punjab ketika beliau menaiki trak kontena khas bersama-sama pemimpin kanan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang dalam perjalanan ke Islamabad bagi menuntut pilihan raya baharu.

Protes besar-besaran berlaku di kebanyakan bandar termasuk Lahore, Faisalabad, Rawalpindi, Karachi dan Peshawar sebagai sokongan terhadap Imran.

Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Amerika Syarikat, Kanada dan Arab Saudi mengutuk sekeras-kerasnya serangan berkenaan.

Ketua Menteri Punjab Chaudhry Parvez Elahi mengarahkan siasatan dijalankan ke atas insiden itu.

Beliau berkata, terdapat dua penyerang di tempat kejadian.

Saksi berkata, tembakan yang dilepaskan ke arah kenderaan Imran menggunakan pistol automatik.

Pemimpin PTI mendakwa terdapat konspirasi untuk menghapuskan Imran daripada kancah politik dan bekas perdana menteri itu sendiri sudah bercakap secara terbuka mengenai ancaman terhadap keselamatannya.

Seorang suspek kini ditahan polis dan menerusi video yang tular di media sosial lelaki itu mengaku mahu membunuh Imran.

Pemimpin kanan PTI, Zartaj Gul Wazir, memberitahu saluran televisyen Bol orang ramai berang dengan insiden cubaan membunuh Imran itu.

Tujuh orang termasuk rakan Imran, Faisal Javed Khan dan Ahmed Chattha, cedera, manakala seorang lelaki maut dalam kejadian tembakan itu, menurut laporan media Pakistan.

"Ini serangan ke atas negara Pakistan dan keselamatannya," kata bekas Timbalan Speaker Dewan Negara, Qasim Khan Suri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 11:54 AM