PENUNGGANG motosikal melalui sebatang jalan yang penuh dengan poster pilihan raya di Lahore, Pakistan semalam. - Reuters
PENUNGGANG motosikal melalui sebatang jalan yang penuh dengan poster pilihan raya di Lahore, Pakistan semalam. - Reuters

Lahore: Rakyat Pakistan mengundi semalam dalam pilihan raya kecil bagi memilih ahli Parlimen bagi kerusi yang dikosongkan Perdana Menteri Nawaz Sharif yang dipecat.

Pilihan raya kecil yang ditandingi isteri Nawaz itu dilihat sebagai menguji sokongan terhadap keluarga berkenaan menjelang pilihan raya umum 2018.

Parti pemerintahan yang diketuai Nawaz, Liga Muslim Pakistan (PML-N) berharap kemenangan hebat di bandar Lahore akan menunjukkan sokongan penuh terhadap pemimpin itu.

Mahkamah Agung pada Julai lalu memecat Nawaz kerana tidak mengisytiharkan gaji bulanannya daripada syarikat yang dimiliki anak lelakinya.

Anak perempuannya, Maryam menerajui kempen untuk ibunya, Kulsoom yang menerima rawatan kanser tekak di London, Britain dengan ditemani Nawaz.

Kulsoom bersaing dengan 40 calon lain, termasuk parti keagamaan.

Maryam yang dianggap sebagai bakal pemimpin PML-N mahu menjadikan kemenangan dalam pilihan raya itu sebagai pukulan hebat kepada badan kehakiman.

“Adakah kamu akan membalas dendam selepas undian kamu tidak dihormati,” kata Maryam dalam satu kempen baru-baru ini.

Pemimpin pembangkang, Imran Khan mengancam membuat bantahan jalanan sekiranya Mahkamah Agung tidak menyiasat kekayaan Nawaz.

Imran juga mahu menggunakan kejayaan kempen antirasuah untuk menembusi kubu kuat keluarga itu di Punjab. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 9:02 AM