AFP

Baitulmaqdis: Ribuan rakyat Palestin memberikan penghormatan terakhir semalam kepada wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh yang ditembak mati dalam serbuan tentera Israel di Tebing Barat.

Israel dan Palestin masing-masing saling menuding jari ke atas pembunuhan Shireen, 51, yang berketurunan Palestin-Amerika itu ketika pertempuran di kem pelarian Jenin.

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa siasatan penuh dilakukan ke atas pembunuhan wartawan berkenaan yang disifatkan Al Jazeera sebagai pembunuhan yang disengajakan.

Namun, Pihak Berkuasa Palestin (PA) menolak mengadakan siasatan bersama dengan Israel.

Sebagai tanda ketokohan Shireen dalam kalangan rakyat Palestin, beliau menerima apa yang disifatkan sebagai peringatan penuh negara di perkarangan Ramallah Presiden Mahmoud Abbas yang dihadiri diplomat asing, ahli politik Arab Israel terkemuka dan pemimpin kanan Palestin.

Ribuan orang berbaris di jalanan ketika kerandanya yang dibalut dengan bendera Palestin, dipandu melalui bandar Tebing Barat.

Ramai memegang bunga, kalungan bunga dan gambarnya dan dipuji secara meluas kerana keberanian dan profesionalismenya dalam membuat liputan konflik di Tebing Barat.

"Jenayah ini tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.

"(Israel) bertanggungjawab sepenuhnya untuk kematiannya dan (PA) menolak cadangan menyertai penyiasatan bersama dengan Israel," kata Mahmoud.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett pada Rabu berkata, Shireen kemungkinan terbunuh akibat tembakan peluru sesat Palestin.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Benny Gantz kemudiannya mengakui mungkin orang Palestin yang menembaknya atau tembakan dari pihak Israel.

Shireen, seorang Kristian Palestin yang dilahirkan di Baitulmaqdis Timur dijangka dikebumikan bersama ibu bapanya di tanah perkuburan berhampiran Kota Lama Baitulmaqdis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 10:36 AM