T Raja Singh. - FOTO Agensi
T Raja Singh. - FOTO Agensi
Reuters

Mumbai: Polis India menahan seorang ahli parlimen daripada parti Perdana Menteri Narendra Modi pada Selasa kerana disyaki "mempromosikan permusuhan atas nama agama" selepas kumpulan Islam menuntut penahanannya atas komennya mengenai Nabi Muhammad SAW.

Penahanan T Raja Singh, seorang ahli parlimen di negeri selatan Telangana, berlaku beberapa bulan selepas Parti Bharatiya Janata (BJP) menggantung jurucakapnya kerana kenyataannya terhadap nabi yang telah membawa kepada tindak balas diplomatik terhadap India.

"Dia telah didakwa mempromosikan permusuhan atas nama agama," Joel Davis, pegawai kanan polis di bandar Hyderabad, memberitahu Reuters.

"Kami telah menahannya dan kami akan menangkapnya. Ini mengenai video terbaru yang disiarkannya."

Dalam video itu, yang boleh didapati di media sosial, Singh, bercakap mengenai perkara yang terlalu sensitif dan menyinggung perasaan orang Islam dengan rujukan jelas kepada Nabi Muhammad SAW.

Singh tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

BJP nasionalis Hindu akan meneliti kenyataan Singh dan mengambil tindakan jika dia didapati melanggar kodnya, kata jurucakap parti K Krishna Rao kepada saluran News18.

Beratus-ratus orang Islam membantah Singh pada petang Isnin selepas video itu muncul di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 5:55 PM