ILMU dan amal sentiasa menjadi asas penting untuk umat Islam.
ILMU dan amal sentiasa menjadi asas penting untuk umat Islam.
Oleh Musytaq al Sha’ari

Semua umat Islam mempercayai dan beriman bahawa suatu hari nanti akan berlakunya kiamat kerana ia merupakan salah satu daripada rukun iman yang wajib bagi umat Islam beriman dengannya. Di dalam al Quran, Allah SWT berfirman di dalam Surah Taha ayat 15:

"Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang (yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya) supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan".

Sebelum berlakunya kiamat yang sebenar, akan adanya tanda-tanda kiamat besar yang disebut oleh Nabi Muhammad SAW.

Dan di antara tanda-tanda kiamat adalah munculnya Imam Mahdi AS. Terdapat beberapa hadis Nabi Muhammad SAW yang menceritakan tentang ketibaan dan kemunculan beliau.

Antaranya adalah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud, beliau berkata Rasulullah SAW telah bersabda: "Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu daripada kalangan aku atau daripada ahli baitku.

Namanya berbetulan dengan namaku dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku.

Dia akan memenuhi bumi dengan penuh keadilan dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman." (Riwayat Abu Daud).

Terdapat hadis yang menceritakan tentang ciri-ciri dan sifat beliau. Di antaranya adalah sebuah hadis riwayat daripada Abu Sa'id al Khudri RA, beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: "al-Mahdi daripadaku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun." (Riwayat Abu Daud).

Daripada hadis di atas, antara ciri Imam Mahdi yang disebut oleh Rasulullah SAW adalah:

1. Imam Mahdi merupakan daripada keturunan Nabi Muhammad SAW.

2. Beliau mempunyai dahi yang luas.

3. Beliau juga mempunyai hidung yang mancung.

4. Nama beliau sama seperti nama Nabi Muhammad SAW iaitu Muhammad Bin Abdullah

Kalau kita lihat di dalam kitab as Sa'ah Li Asyrath as Sa'ah karangan al Imam Abu Nuaim al Asfahani, beliau ada menyebut beberapa ciri yang ada pada al Imam Mahdi. Antaranya:

1. Tanda yang ada pada bahu beliau sama seperti tanda yang ada pada bahu Nabi Muhammad SAW.

2. Nabi Isa AS akan bersolat di belakangnya.

3. Penduduk bumi akan merasa cukup apabila duduk di bawah pemerintahan beliau.

Apabila kita menceritakan tentang perihal Imam Mahdi AS, ramai yang ternanti-nanti kemunculan beliau agar keadilan dan kemenangan Islam dapat ditegakkan di bumi ini.

Bahkan ada yang telah mempersiapkan pelbagai kelengkapan untuk menjadi tentera dan pengikut beliau.

Maka timbullah pelbagai dakwaan-dakwaan serta ramalan berkaitan ketibaan Imam Mahdi AS.

Maka di sini saya ingin menasihati agar jangan terlalu percaya dan taksub terhadap dakwaan atau ramalan yang tidak berasas yang tersebar di media sosial ini.

Persiapan kita sebagai umat Islam dalam menanti kedatangan Imam Mahdi AS adalah Ilmu dan Amal.

Dua perkara ini adalah asas penting bagi seseorang umat Islam bagi menghadapi apa jua situasi dan keadaan kerana ilmu dan amal merupakan senjata yang ampuh untuk menyelamatkan kita di akhir zaman ini. Dengan adanya ilmu ini, dapat membantu dan menyelamatkan kita daripada terpengaruh dengan dakwaan dan ramalan palsu yang sering muncul.

Untuk menjadi pengikut Imam Mahdi AS sudah pasti ia memerlukan ilmu dan amal.

Lebih-lebih lagi untuk menjadi tenteranya.

Cuba kita lihat ketika mana proses pemilihan untuk menjadi tentera Sultan Muhammad al Fateh.

Beliau memilih orang yang punya ilmu dan amal yang tinggi untuk menjadi tenteranya yang akan menakluki Kota Konstantinopel.

Selain itu, mencintai ahli keluarga Nabi Muhammad SAW juga merupakan persiapan utama bagi umat Islam kerana Imam Mahdi AS adalah daripada ahli keluarga Nabi Muhammad SAW.

Daripada Ummu Salamah R.Anha berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Al-Mahdi daripada itrah (keturunan) ku daripada anak Fatimah." (Riwayat Abu Daud).

Mencintai dan menghormati ahli keluarga Nabi Muhammad SAW merupakan perintah Baginda SAW sendiri. Sebuah hadis yang diceritakan oleh Saidina Zaid bin Arqam, bahawa Rasulullah SAW pernah berkata kepada para sahabat:

"Kemudian Baginda berpesan agar para sahabat berpegang kepada Kitab Allah (al-Quran) dan beliau bersabda: Dan begitu juga ahli keluargaku. Aku mengingatkan kamu semua tentang ahli keluargaku." (Riwayat Muslim)

Saidina Abu Bakar juga pernah berkata tentang ahli keluarga Nabi SAW:

"Demi jiwaku dalam kekuasaannya, sungguh menyambung silaturrahim dengan kerabat Rasulullah itu lebih aku suka daripada menyambung silaturahim dengan kerabatku sendiri." (Riwayat Muslim).

Kesimpulannya, sebagai umat Islam yang berada pada akhir zaman dalam menanti ketibaan Imam Mahdi AS, hendaklah berpegang teguh dengan al-Quran dan Hadis Nabi SAW serta rujuklah kepada para alim ulama sekiranya kita mempunyai kemusykilan atau pertanyaan.

Elakkan dan jauhilah daripada bertanya kepada orang yang tidak berkeahlian dalam bidang agama. Jangan mudah terpengaruh dengan dakwaan dan ramalan yang berlegar di media massa. Persiapkan diri dengan ilmu dan amal agar kedua-dua perkara ini akan menjadi benteng dan perisai untuk diri kita daripada perkara yang boleh merosakkan kepercayaan dan keimanan.

Penulis pendakwah bebas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 6:01 AM