MUHAMMAD Najhan Shahir Halum (tengah) menyerahkan memorandum bantahan diatas penghinaan dua pemimpin kanan parti BJP India yang menghina nabi Muhammad SAW di pejabat Pesuruhjaya Tinggi India, Jalan Pahang, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MUHAMMAD Najhan Shahir Halum (tengah) menyerahkan memorandum bantahan diatas penghinaan dua pemimpin kanan parti BJP India yang menghina nabi Muhammad SAW di pejabat Pesuruhjaya Tinggi India, Jalan Pahang, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohamad Ashyiq Haqimi

Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Amal Islami Malaysia (Maim) mewakili 140 badan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan India di Jalan Pahang di sini, berhubung isu penghinaan Nabi Muhammad SAW.

Pengerusi MAIM Muhammad Najhan Shahir Halim berkata memorandum itu dihantar untuk memohon kerajaan India khasnya Parti Bharatiya Janata (BJP) mengenakan tindakan tegas melucutkan jawatan dalam parti atau kerajaan terhadap dua pemimpin parti itu yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW.

"Penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW adalah perbuatan yang bercanggah dengan nilai hak asasi beragama dan mengamal ajaran masing-masing yang dijamin hak asasi manusia.

"Penghinaan itu juga satu provokasi jahat yang mampu menggugat keharmonian sejagat dan ketidakstabilan masyarakat.

"Kami mendesak kerajaan India khasnya BJP memohon maaf kepada seluruh umat Islam di serata dunia khasnya di India atas penghinaan ini dan berjanji tidak mengulangi pada masa akan datang," katanya selepas menghantar memorandum bantahan di Wisma HRIH Lotus, di sini, hari ini.

Beliau menambah, mereka menyokong usaha dan tindakan tegas kerajaan Malaysia memanggil kedutaan India serta menyatakan bantahan rasmi terhadap kerajaan India.

Penasihat Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Kamaruzaman Mohamad berkata, tindakan yang dilakukan dua pemimpin BJP dikatakan sebagai biadap kerana menghina Nabi Muhammad SAW secara terbuka.

"Sehingga hari ini, tiada lagi tindakan tegas diambil BJP sebagai tanda kekesalan dengan tindakan dua pemimpin mereka terhadap penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW.

"Jika masih tiada tindakan yang diambil terhadap mereka, kami akan meneruskan agenda untuk membangkitkan kesedaran umat Islam terhadap perbuatan biadab daripada dua pemimpin parti BJP.

"Kita sebagai manusia bertamadun tidak sepatutnya melakukan perbuatan sebegini rupa tambahan lagi melibatkan sentimen agama yang boleh memecah belahkan keharmonian negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 3:45 PM