LEROUX (tengah) beramah mesra bersama Kamarudin selepas  Majlis Persidangan dan Mesyuarat Agung ICA 2017, semalam.
LEROUX (tengah) beramah mesra bersama Kamarudin selepas Majlis Persidangan dan Mesyuarat Agung ICA 2017, semalam.
Syazwan Msar

Petaling Jaya : Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) Datuk Kamarudin Ismail dipilih sebagai ahli lembaga Koperasi Persekutuan Antarabangsa (ICA) untuk tempoh empat tahun akan datang, sekali gus menjadi wakil tunggal negara yang akan menghadiri forum antarabangsa dan perhimpunan ekonomi utama nanti.

Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pemilihan itu membuktikan wakil negara luar mengiktiraf kebolehan dan kemampuan koperasi di Malaysia dalam memacu ekonomi hingga ke peringkat global.

Beliau berkata, peranan Kamarudin penting dalam memastikan jalinan kerjasama antara koperasi negara luar dapat dilaksanakan menerusi perjanjian perdagangan nanti.

“Kami akan menggunakan platform ini untuk memasarkan lebih banyak produk tempatan ke negara luar terutama ke Eropah selain menjalinkan kerjasama dengan berkongsi idea dalam mengembangkan lagi ekonomi masing-masing.

“Selain itu, kami juga akan berkongsi kaedah menjaga hubungan dengan kerajaan kerana rata-rata negara luar kagum terhadap kemampuan ANGKASA berbuat demikian sejak sekian lama tanpa sebarang masalah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Persidangan dan Mesyuarat Agung ICA 2017 di sini, semalam.

Lebih 100 peserta koperasi dari pelbagai negara hadir dengan Kamarudin berjaya memperoleh 461 daripada 691 undi keseluruhan sekali gus melayakkannya dipilih sebagai ahli lembaga ICA.

Sementara itu, Kamarudin berkata, dia akan berkongsi maklumat berkaitan penubuhan koperasi sekolah yang berjaya direalisasikan ANGKASA dalam mendidik pelajar untuk menjadi usahawan.

“Kejayaan itu antara perkara yang dikagumi peserta luar selepas melihat inisiatif itu boleh mendidik murid untuk menjadi usahawan seterusnya mengajar mereka menguruskan kewangan dengan betul.

“Kebanyakan negara luar melihat perkara terbabit adalah mustahil namun Malaysia boleh melaksanakannya di setiap sekolah tanpa sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, Ariel Guarco dari Argentina dipilih sebagai Presiden ICA menggantikan Monique Leroux yang memegang jawatan terbabit sejak 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 2:56 AM