ANTARA tunjuk perasaan di Myanmar pada tahun lalu. FOTO fail AFP
ANTARA tunjuk perasaan di Myanmar pada tahun lalu. FOTO fail AFP
AFP

Singapura: Seorang pegawai tertinggi Amerika Syarikat (AS) meramalkan pilihan raya yang dirancang tentera junta Myanmar tahun depan tidak akan berlangsung secara adil dan bebas.

Kaunselor Jabatan Negara AS, Derek Chollet meragui ikrar junta untuk mengadakan pilihan raya baharu pada Ogos 2023.

"Saya fikir tidak ada peluang ia dilaksanakan secara bebas dan adil.

"Ia boleh menjadi percubaan untuk memanipulasi rantau ini dan masyarakat antarabangsa," katanya dalam sesi Dialog Shangri-La di Singapura.

Beliau berkata, jika rakyat Myanmar mempunyai kepercayaan pilihan raya akan membawa negara itu kembali kepada pemerintahan awam yang betul dan kehendak rakyat akan dihormati, ia boleh menjadi titik pencetus untuk keganasan lebih besar.

Chollet mengesahkan Washington pada masa ini tidak memikirkan membekalkan senjata kepada pejuang antirampasan kuasa di Myanmar walaupun permintaan untuk sokongan seperti itu diberikan kepada Ukraine berikutan pencerobohan Rusia.

Berdasarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, keganasan selepas rampasan kuasa menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal di Myanmar.

Myanmar bergolak dan ekonominya lumpuh sejak rampasan kuasa pada Februari 2021 yang menggulingkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi.

Parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi beliau memenangi kemenangan besar pada pilihan raya November 2020, namun tentera mendakwa berlaku penipuan pengundian untuk mewajarkan rampasan kuasa berkenaa.

Sejak digulingkan, Suu Kyi berada dalam tahanan tentera dan berdepan pelbagai pertuduhan yang membawa hukuman penjara lebih 150 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 10:16 AM