PELANGGAN mengayuh basikal untuk mengait stoking sendiri. FOTO Agensi
PELANGGAN mengayuh basikal untuk mengait stoking sendiri. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Kait stoking sendiri. Itu peluang yang disediakan sebuah kilang stoking kecil di wilayah Nara, Jepun, yang mencipta mesin yang membolehkan orang ramai mengait stoking dengan mengayuh basikal pegun.

Souki Socks, menjadikan inisiatif itu sebagai satu pengalaman menarik dan menyeronokkan, lapor Oddity Central.

Walaupun menghadapi banyak rintangan, ia berjaya menghasilkan peralatan yang menggabungkan mesin mengait stoking secara mekanikal.

Kaedah itu membolehkan hampir semua orang dapat menghasilkan stoking mereka sendiri.

Dinamakan 'Charix', mesin itu sangat popular dalam kalangan pelancong sejak ia dirasmikan pada 2017.

Mesin mengait stoking longgar menjadi kegilaan di Jepun pada tahun 1990-an, namun kilang itu berjaya memberi nafas baharu kepada mesin berkenaan.

Ia dengan memasangkan mesin khas dengan basikal pegun.

Sebelum mereka mula mengayuh, pengunjung memilih saiz stoking serta warna benang yang ingin digunakan.

Sepasang stoking mengambil masa kira-kira 10 minit untuk dihasilkan dan ia cukup untuk mengelakkan seseorang daripada bosan.

Selepas selesai mengayuh, kakitangan memperkemaskan stoking itu supaya pembeli boleh membawanya pulang.

Menurut Oddity Central, memandangkan mesin mengait sarung kaki tidak lagi dikeluarkan, Souki Socks perlu membuat pesanan apabila ada bahagian pada mesin berkenaan yang rosak,

Ia untuk memastikan projek Charix itu dapat diteruskan.

Tetapi minat orang ramai terhadapnya menjadikan semuanya berbaloi.

Susulan permintaan terhadap penghasilan stoking dengan kaedah itu semakin meningkat, Souki, baru-baru ini. melancarkan pilihan baharu untuk pelanggan.

Charix Online membenarkan pelanggan memilih saiz stoking mereka dan tiga warna benang daripada jumlah keseluruhan 36 pilihan.

Harga sepasang stoking ialah 2200 yen (kira-kira RM76.76).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 2:46 PM