ANTARA hasil kerja Sanisah yang popular.
ANTARA hasil kerja Sanisah yang popular.
SANISAH suka berkongsi pengetahuan dan pengalaman merenda.
SANISAH suka berkongsi pengetahuan dan pengalaman merenda.
Kusyi Hirdan


Maksud bahasa Melayunya merenda. Namun ia tidak menjadi sebutan yang popular sebagaimana ‘crochet’. Bunyinya ‘krosyer’ daripada bahasa Perancis bermaksud cangkuk kecil.

Terus terang, penulis lebih suka menyebut ‘merenda’ kerana ia dalam bahasa kita dan lebih melambang­kan bidang seni itu berbanding ‘crochet’ yang diambil daripada bahasa asing. Tetapi, selalunya ramai daripada kita berasakan perkataan crochet lebih menarik.

Satu lagi bidang seni lebih kurang sama namun ramai yang keliru ialah mengait (knitting).

Kedua-duanya iaitu crochet dan mengait, kaedahnya menjalinkan lembaran benang menjadi fabrik untuk membentuk sesuatu. Cuma bezanya, crochet menggunakan satu jarum dengan hujungnya melengkung untuk mengaitkan benang. Mengait pula menggunakan dua jarum.

Pengalaman penulis yang tidak pandai dalam kedua-dua bidang seni itu, hasilan merenda mahupun mengait menggambarkan kesenian setiap pembuatnya. Ia boleh dipelajari sesiapa saja sekiranya berminat tetapi bagaimana hasilnya?

Daripada penilaian, hasil yang halus dan kemas, itulah petanda kejayaan hasilan pembuatnya. Ada juga yang hasilnya kasar dan longgar serta tidak terbentuk rapi. Semuanya bergantung kepada pengalaman pembuatnya.

Ia boleh menghasilkan apa saja. Pakaian, perhiasan rumah, cadar, gambar, kasut, topi, permainan anak dan pelbagai lagi mengikut kreativiti serta kemahiran pembuatnya.

Ini kerana alat merenda dan mengait yang digunakan berbeza, hasilannya juga berbeza. Setiap satu pula berbeza apabila jarum yang digunakan berbeza. Unik, bukan? Jarum merenda dan mengait dibuat sama ada daripada besi, kayu atau plastik.

Seperti menjahit, kemahiran merenda dan mengait adalah hobi yang sangat istimewa dan boleh dimanfaatkan sama ada untuk kepuasan sendiri mahupun dijadikan perniagaan. Ramai orang meminati hasilnya tetapi tidak tahu membuatnya. Ramai yang tercari-cari keunikan merenda dan mengait. Ia juga dikategorikan dalam seni kemahiran tangan tertua di dunia yang sentiasa malar segar.

Bagi yang menjadikan merenda dan mengait ini sebagai hobi, mereka sangat mencintai hobi itu dan berasakan kedua-duanya sangat seronok dilakukan. Ada kalanya, kita yang melihat berasakan betapa sukarnya dan remeh kerja kedua-duanya.

Tak kenal maka tak cinta

Penulis bertemu seorang pencinta crochet, Sanisah Kamaldin, 41, yang tinggal di Batang Kali, Selangor. Suri rumah itu turut menjadikan bidang crochet sebagai sumber pendapatan.

“Prinsip saya bukan sekadar untuk pendapatan. Saya suka berkongsi pengalaman dengan orang lain bagaimana mahu memulakan bisnes juga petua menarik minat pelanggan untuk membeli.

“Saya sendiri hanya ­mengambil tempahan hasil seni yang dipromosi di laman sosial saja,” katanya.

Sanisah yang sudah mula merenda sejak usia empat hingga lima tahun, memilih benang yang berkualiti saja dalam penghasilan produknya.

“Ingat lagi tempahan pertama saya ialah stoking dari jiran tetangga,” cerita wanita berasal dari Melaka ini.

Sanisah mengadakan kelas crochet dalam talian dan sering mengadakan pertemuan dengan peminat merenda yang lain. Kini dia mempunyai grup laman sosialnya sendiri untuk dia berkongsi ilmu dan pengalamannya di situ. Ia terdiri dari seluruh Malaysia seramai lebih 100 orang.

“Ramai bertanya mengenai panduan, petua dan cara meletak harga jualan. Apabila ramai yang bertanya soalan lebih kurang sama jadi saya buatkan grup khas. Dalam grup itu ada yang baru bermula, ada yang peringkat pertengahan dan ada juga yang sudah handal tetapi kebanyakannya baru nak belajar teori serta diagram,” katanya.

Sanisah mempelajari merenda daripada ibunya sendiri yang juga tutor merenda. Semua adik-beradik Sanisah lelaki dan perempuan boleh merenda dengan baik.

Ketika kami berkunjung ke rumahnya, tidak banyak hasil merenda yang ada kerana kebanyakannya diletak di pameran jualan yang berlangsung di ibu kota ketika itu. Hasil merendanya yang paling popular ialah tasbih.

Beramal dengan merenda dan mengait

Di seluruh dunia, merenda dan mengait bukan hanya dilakukan sekadar hobi. Ramai yang menjadikannya untuk tujuan lain seperti kemanusiaan dan amal, membantu mereka yang memerlukan.

Ada kisah daripada pelbagai peringkat manusia sama ada muda, tua, terkenal ataupun orang biasa. Ada juga yang menjadikan seni ini sebagai terapi menenangkan jiwa, relaks, penyembuhan serta mengubati kesunyian.

Beberapa kisah wanita dan seni ini boleh saja dijadikan inspirasi. Seperti Vanna White, pelakon dan personaliti televisyen Amerika Syarikat yang bercerita dalam satu temu bual bagaimana dia mempelajari seni merenda ketika umurnya lima tahun daripada neneknya.

Kemudian dia belajar semula apabila memulakan program televisyen popular Wheel of Fortune, ketika itu dengan membuat selimut bayi untuk kawannya.

“Pendandan rambut saya yang menggalakkan saya kembali merenda ketika lapang di set penggambaran. Saya dapati ia sangat menenangkan dan saya ada sesuatu untuk ditunjukkan selepas itu. Saya membuat banyak crochet sebagai hadiah kepada keluarga dan kawan-kawan.

“Setiap satunya saya letakkan tag, ‘Buatan tangan Vanna White’. Pada saya hadiah yang dibuat sendiri seperti itu sangat bermakna berbanding barang mahal dibeli di kedai. Saya suka melihat wajah penerima. Saya pernah memberi hadiah selimut kepada bayi seorang kawan dan dia memberitahu, selepas 13 tahun anaknya masih menyayangi selimut itu. Ia sangat bermakna bagi saya,” katanya.

Projek ‘Crochet to Care’ dimulakan oleh pelajar perempuan tahap empat sebuah sekolah di pinggir bandar Riverwood, Amerika Syarikat. Namanya Talia Scott, 10.

Ramai yang berasa sedih melihat haiwan terbiar di pusat perlindungan tetapi siapa yang berbuat sesuatu untuknya? Talia memulakan projek amalnya dengan menjual pemanas telinga daripada crochet buatan ­tangannya. Dia sangat gembira kerana hasil sumbangan dapat dimanfaatkan.

Sebelum itu Talia sudah mula memberi pemanas telinga crochet kepada kawan-kawan dan keluarganya sebagai hadiah dan apabila seorang ibu kepada temannya mahu membeli, dia rasa lucu.

“Dia rasa lucu mengambil wang untuk hasil crochetnya tetapi idea itu dirasakan elok untuk tujuan ke arah kebaikan,” beritahu ibu Talia, Lisa Scott yang sangat bangga dengan sikap anaknya. Duit daripada jualan digunakan untuk kucing dan anjing di pusat perlindungan.

Seorang wanita Australia, yang berjuang penyakit

kanser tulang dan juga osteoporosis, Van Duin merenda dan mengait selimut kemudian menyumbangkannya kepada yang memerlukan. Minatnya pada seni itu bermula sejak usia kecil lagi.

“Saya tahu sakit saya semakin teruk tetapi masih mempunyai banyak benang untuk dihabiskan,” katanya.

Pada wanita itu yang penting, setiap selimut yang dihasilkan akan digunakan bagi membantu mereka yang memerlukan dan dia sangat berbesar hati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 6:13 AM