AFP

Sydney: Tonga boleh dikatakan terputus hubungan dengan dunia luar, pada Isnin, selepas letupan gunung berapi besar melumpuhkan fasiliti komunikasi dengan negara kepulauan Pasifik itu.

Pakar memberi amaran sambungan internet mungkin tidak dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ini adalah hari kedua selepas gunung berapi dasar laut di Hunga Tonga-Hunga Haa'pai meletup

sehingga berlakunya tsunami dan gelombang kuat.

Beberapa negara jiran dan agensi antarabangsa masih berusaha untuk membantu mengenal pasti jumlah kerosakan yang berlaku.

Wellington dan Canberra bergegas menghantar pesawat peninjau untuk mengenal pasti kerosakan dari udara pada Isnin.

Kedua-dua negara meletakkan pesawat pengangkut tentera C-130 dalam keadaan bersiap sedia untuk menggugurkan bekalan kecemasan atau mendarat sekiranya landasan kapal terbang boleh digunakan.

Imej satelit menunjukkan letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai yang panjang dan bergemuruh menyebabkan kepulan asap kelihatan seperti cendawan besar, selain abu bertebaran ke udara merentasi perairan sekitarnya.

Gelombang tsunami setinggi 1.2 meter berlaku di ibu negara Tonga, Nuku'alofa, menurut Biro Meteorologi Australia.

Agensi Meteorologi Jepun pula berkata, tsunami juga dijangka sampai ke pantai Pasifik negara itu, dengan kemungkinan ombak setinggi tiga meter.

Gelombang ombak setinggi 1.2 meter sudah sampai ke pulau terpencil di selatan Amami Oshima dan kawasan lain di sepanjang pantai Pasifik Jepun dengan ombak yang lebih kecil, kata agensi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 3:38 PM