Pekerja di loji pengurusan sisa kendalian Bee’ah yang masih dalam pembinaan di Sharjah. - FOTO AFP
Pekerja di loji pengurusan sisa kendalian Bee’ah yang masih dalam pembinaan di Sharjah. - FOTO AFP
AFP

Sharjah: Emiriah Arab Bersatu (UAE) menemui cara baharu untuk melupuskan timbunan sampah di kawasan padang pasir melalui alat pembakar yang akan memproses sisa itu menjadi tenaga elektrik.

UAE antara negara pengeksport minyak terkemuka dunia dalam proses membina loji sisa pertama yang akan diproses menjadi tenaga bagi mengatasi masalah lambakan sampahnya yang kronik dan pada masa sama, kebergantungan kepada stesen janakuasa bahan api gas.

Bagaimanapun, aktivis alam sekitar kurang yakin dengan inisiatif berkenaan kerana berpendapat usaha melalui kitar semula, pengkomposan dan mengubah tabiat daripada kadar penggunaan bersifat membazir adalah lebih baik untuk alam sekitar.

Mereka turut memberi amaran risiko berlakunya pencemaran akibat daripada penggunaan alat pembakar.

Dalam pada itu, jurutera syarikat pengurusan sisa, Bee'ah, Nouf Wazir, berpandangan sebaliknya dengan menyifatkan ia adalah satu cara untuk menggunakan sampah yang tidak boleh dikitar semula.

"Bukan semua orang tahu bahawa sisa ada nilainya," kata Wazir yang juga jurutera kanan bagi projek berkenaan.

Fasiliti yang dibangunkan di bandar Sharjah itu dijangka dilancarkan tahun ini dan akan digunakan untuk membakar lebih 300,000 tan sisa setahun bagi membekalkan tenaga kepada 28,000 rumah.

Sementara itu, di wilayah jiran Sharjah iaitu Dubai, satu lagi loji lain sedang dibangunkan dengan kos bernilai AS$1.2 bilion (RM4.98 bilion), kata salah satu rakan kongsinya, syarikat Hitachi Zosen Inova.

Projek loji janakuasa yang dijangka siap pada 2024 itu adalah antara yang terbesar di dunia dan mampu memproses 1.9 juta tan sisa setahun iaitu kira-kira 45 peratus daripada sampah dibuang isi rumah di negara berkenaan.

Dengan populasi 10 juta penduduk, lima kali ganda berbanding 30 tahun lalu, UAE menggunakan lebih tenaga elektrik dan menghasilkan lebih banyak sisa bagi setiap individu, berbanding negara lain.

Pihak berkuasa menganggarkan penghasilan sisa sekitar 1.8 kilogram setiap individu setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 5:38 PM