Seorang lelaki berdiri di hadapn guni pasir yang diletakkan di hadapan bank bagi menghalang air banjir. - FOTO AFP
Seorang lelaki berdiri di hadapn guni pasir yang diletakkan di hadapan bank bagi menghalang air banjir. - FOTO AFP
AFP

Bangkok: Pihak berkuasa Thailand kini bertungkus-lumus melindungi Bangkok daripada banjir yang kini sudah menenggelamkan 70,000 kediaman dan meragut enam nyawa di wilayah utara dan tengah.

Ribut Dianmu menyebabkan banjir di 30 wilayah dengan bahagian tengah Thailand paling teruk terjejas, kata Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand.

Paras air di Sungai Chao Phraya terus meningkat selepas pihak berkuasa melepaskan air empangan yang terletak di hulu sungai.

Anggota tentera meletakkan penghadang dan guni pasir untuk melindungi runtuhan dan mercu tanda arkeologi kuno serta kawasan berhampirannya di Ayutthaya, kira-kira 60 kilometer dari Bangkok.

Gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang berkata, pihaknya akan memberi amaran jika paras air naik atau wujud risiko berlaku banjir kilat.

Kawasan yang pernah digelar 'Venice Timur' itu dibina selepas menambak kawasan paya dan berada kira-kira 1.5 meter di atas paras laut.

Sebelum ini, ladang pertanian dan sawah padi di kawasan rendah dapat menyalurkan keluar air berlebihan akibat banjir tetapi kini kawasan berkenaan sudah dibangunkan menjadi hartanah untu kediaman atau perniagaan.

Sementara itu, pelan induk kerajaan bagi pencegahan banjir merangkumi empangan bawah tanah dan terowong tidak dapat dibina berikutan kesukaran mengambil alih tanah.

Sejak hujung minggu lalu, pasukan kecemasan melakukan beberapa operasi menyelamat mangsa dari bumbung rumah di perkampungan sekitar wilayah Chaiyaphum

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 7:17 PM