FOTO HIASAN EPA
FOTO HIASAN EPA
BERNAMA

Bangkok: Varian Delta mewakili 93 peratus daripada kes baru Covid-19 yang dilaporkan di Thailand.

Ketua Pengarah, Bahagian Sains Perubatan, Dr Supakit Sirilak berkata, kaji selidik yang dijalankan antara 14 dan 20 Ogos mendapati 2,132 daripada 2,295 sampel atau 92.9 peratus, dijangkiti varian Delta yang pertama kali dikesan di India.

"Di Bangkok, varian ini mewakili 96.7 peratus kes yang dilaporkan," katanya.

Menurutnya, varian Alpha yang pertama kali dikesan di United Kingdom (UK), mewakili 5.8 peratus daripada sampel yang dikaji.

"Varian Beta yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan kebanyakannya dikesan di wilayah selatan Thailand, mewakili 1.3 peratus sampel," katanya.

Sementara itu, Thailand mencatatkan 17,165 kes baru jangkitan Covid-19 dengan 226 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 1.08 juta kes dan 9,788 kematian.

Ia adalah hari ketiga berturut-turut jumlah kes baru berada di bawah angka 20,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 7:23 PM