Seorang lelaki memegang sepanduk dalam protes yang diadakan di Manila. - FOTO EPA
Seorang lelaki memegang sepanduk dalam protes yang diadakan di Manila. - FOTO EPA
Agensi

Manila: Filipina mengenakan larangan kemasukan individu dari Malaysia dan Thailand serta mengetatkan sekatan di wilayah Manila, dalam usaha mencegah penyebaran varian Delta.

Jurucakap Presiden Filipina, Harry Roque berkata, sekatan perjalanan itu akan berkuat kuasa mulai Ahad ini dan berlanjutan hingga hujung bulan bagi membendung varian yang lebih pantas merebak itu.

"Tindakan ini dilakukan untuk mencegah penyebaran lebih cepat dan mencegah varian menular dalam kalangan masyarakat di Filipina," katanya.

Filipina sebelum ini melarang pelancong dari lapan negara termasuk Indonesia dan India, bagi menghalang serta mencegah penularan varian Delta secara lebih meluas di wilayahnya.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, meletakkan ibu kotanya serta empat wilayahnya, di bawah kawalan Covid-19 lebih ketat hingga akhir Julai.

Sukan dan tempat persidangan, pelancongan domestik dan gimnasium tidak dibenarkan beroperasi, sementara kapasiti operasi tempat makan termasuk di ruang terbuka dihadkan.

Di samping itu, kanak-kanak berumur antara lima hingga 17 tahun tidak dibenarkan meninggalkan kediaman mereka.

Filipina mencatatkan 47 kes varian Delta, lapan daripadanya aktif dan tiga kematian direkodkan setakat ini.

Setakat ini Filipina mencatatkan lebih 1.53 juta jangkitan dan hampir 27,000 kematian, angka kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 8:35 PM