Pihak berkuasa Israel menahan warga Palestin yang sertai tunjuk perasaan di Kota Lama Baitulmaqdis. FOTO AFP
Pihak berkuasa Israel menahan warga Palestin yang sertai tunjuk perasaan di Kota Lama Baitulmaqdis. FOTO AFP
AFP

Ramallah: Pilihan raya di Palestin ditangguhkan sehingga ada jaminan bahawa proses undian dapat dilaksanakan di wilayah timur Baitulmaqdis yang kini diduduki Israel.

Perkara itu diumumkan Presiden Palestin, Mahmud Abbas hari ini sekali gus situasi itu menyebabkan pilihan raya Palestin tertangguh selepas kali terakhir diadakan pada 2006.

Menurut pemimpin berusia 85 tahun itu, beliau sudah menggesa komuniti antarabangsa supaya memberi tekanan kepada Israel bagi membolehkan aktiviti kempen dan undian dijalankan di timur Baitulmaqdis yang dijajah Israel sejak 1967.

Bagaimanapun, Abbas berkata, undian di wilayah itu tidak dapat dijalankan kerana Israel belum memberi sebarang jaminan menjelang pilihan raya dan pemilihan presiden yang dijadualkan pada 22 Mei dan 31 Julai depan.

"Kami memutuskan untuk menangguhkan pilihan raya sehingga diberikan jaminan berhubung Baitulmaqdis," katanya.

Sementara itu, rakyat Palestin yang menetap di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang turut ditakluk Israel menyuarakan harapan supaya pilihan raya dapat diadakan bagi memulihkan semula kepincangan dalam sistem politik negara berkenaan.

Pilihan raya itu diadakan selepas satu perjanjian dicapai di antara gerakan Fatah yang diterajui Abbas yang menguasai di Tebing Barat dengan pesaingnya, Hamas yang berkuasa di Semenanjung Gaza.

Terdahulu, Hamas berkata pihaknya menolak sebarang percubaan untuk menangguhkan pilihan raya berkenaan.

Penangguhan itu berisiko menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat Palestin dengan kebanyakan penunjuk perasaan di Ramallah mengecam keputusan Abbas.

"Kami mempunyai kelompok generasi muda yang tidak tahu apa itu pilihan raya. Mereka juga ada hak untuk memilih pemimpin," kata seorang penunjuk perasaan, Tariq Khudairi kepada AFP.

Dalam pada itu, wartawan Palestin yang kerap mengkritik kepemimpinan Abbas, Nadia Harhash berkata, menjadikan Batulmaqdis sebagai alasan untuk menangguhkan pilihan raya bukanlah satu tindakan bijak.

Katanya, tindakan itu memberikan Israel kuasa veto ke atas penduduk Palestin berhubung hak untuk mengundi dan memilih pemimpin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 9:36 AM