AFP

Gaza: Pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniya, menegaskan kesediaannya bertemu Presiden Palestin Mahmoud Abbas di mana saja bagi membincangkan masalah perpecahan dalam dua pertubuhan Palestin itu.

Ismail membuat kenyataan itu ketika berucap sempena sambutan ulang tahun ke-31 penubuhan Hamas di Bandar Raya Gaza semalam, yang dihadiri puluhan ribu penduduk Palestin.

Anggota sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, turut menghadiri perhimpunan itu dengan berpakaian celoreng serta membawa pelbagai jenis senjata api.

Menurut AlJazeera, Ismail menegaskan kesediaan pertubuhannya untuk ‘mematuhi apa saja yang diperlukan’ bagi memulihkan perpaduan penduduk Palestin dan menamatkan perpecahan.

Beliau turut menyatakan kesediaan mengadakan pilihan raya, sama ada presiden atau parlimen.

PULUHAN ribu penduduk Palestin menghadiri perhimpunan itu. - Reuters
PULUHAN ribu penduduk Palestin menghadiri perhimpunan itu. - Reuters

Bulan lalu, delegasi Hamas dan Fatah bertemu dengan pegawai Mesir di Kaherah dalam usaha menamatkan perpecahan penduduk Palestin.

AFP melaporkan, Ismail memuji perjuangan menentang Israel di Tebing Barat berikutan beberapa serangan terhadap Israel.

Dalam dua kejadian minggu lalu, dua tentera Israel maut ditembak di Tebing Barat dan Ramallah.

Pasukan keselamatan Israel menahan sekurang-kurangnya 37 anggota Hamas berhubung kejadian itu.

Ismail berkata, serangan akan diteruskan sehingga dasar Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di rantau berkenaan dihentikan, terutama pemindahan Kedutaan Amerika ke Baitulmaqdis.

Kumpulan bersenjata Palestin di Gaza, termasuk Hamas, berperang tiga kali dengan Israel sejak 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 9:45 AM