PENAMPILAN Arya sebelum dan selepas meringankan berat badannya. FOTO IG ade_rai
PENAMPILAN Arya sebelum dan selepas meringankan berat badannya. FOTO IG ade_rai
Agensi

Jakarta: Seorang remaja yang pernah dipercayai kanak-kanak paling gemuk di dunia lima tahun lalu menunjukkan transformasi terkini menerusi perubahan saiz dan berat badannya yang semakin susut.

The Sun melaporkan perubahan Arya Permana, 14, nampak ketara apabila berat badannya yang dulu mencecah 192 kilogram (kg), kini turun kepada 83 kilogram (kg).

Selain pembedahan pintasan usus, penurunan berat Arya yang berasal dari kampung Cipurwasari di Jawa Barat berpunca hasil amalan diet dan senaman.

Antara rutinnya kini adalah berjalan sejauh tiga kilometer (km) setiap hari, bermain bola keranjang dan sukan lain serta memanjat pokok.

Malah, Arya juga sudah berpeluang untuk menunggang motosikal buat kali pertama.

Lebih menggembirakan, Arya dapat ke sekolah yang sebelum ini ditutup berikutan ancaman Covid-19.

"Pada 2015, saya tidak pernah menyangka akan dapat menurunkan berat badan, tetapi kini berasa lebih baik dan sangat berbeza," katanya.

Menurut Arya, dia sudah mengubah tabiat pemakanan dengan makan tiga kali sehari dan setiap hidangan mengandungi nasi, tempe, tauhu dan ayam goreng.

Waktu tidurnya juga berubah dan cara itu berhasil membantunya menurunkan berat badan.

"Kira-kira empat atau lima tahun lalu, saya tidur pada jam 4 pagi dan bangun pada jam 3 petang, tetapi kini saya sudah lelapkan mata seawal jam 10 malam.

"Saya jarang makan nasi putih. Niat saya kini untuk menurunkan berat badan dengan diet dan senaman," katanya.

Sementara itu, pakar perubatan, Dr Handy Wing berkata, Arya menjalani bariatric surgery (pembedahan bariatrik) supaya tidak boleh makan dalam kuantiti banyak.

"Kami jadikannya bentuk perutnya seperti pisang iaitu 30 peratus daripada saiz asal, jadi ia membantu Arya supaya kurang makan.

"Seronok melihat dia kini menjalani hidup seperti remaja seusianya," katanya.

Arya sebelum ini terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mampu berjalan dan sering kepenatan.

Berat badan Arya berlebihan menyebabkan ibu bapanya bimbang dengan kesihatan anak mereka.

Ibunya, Rokayah berkata, Arya sentiasa lapar dan makan lima kali sehari dengan jumlah yang banyak, hampir dua kali ganda berbanding lelaki dewasa.

Katanya, anak kedua daripada dua beradik itu sering mengadu kepenatan dan sesak nafas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 8:00 AM