KAMALA HARRIS. FOTO AFP
KAMALA HARRIS. FOTO AFP
AFP

Washington: Joe Biden mengumumkan Senator Kamala Harris sebagai Naib Presiden, jika beliau dipilih sebagai Presiden pada Pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS), November depan.

Ia bagi mencabar penyandang jawatan itu, Presiden Donald Trump yang mewakili parti Republikan.

Sekiranya menang, Harris akan melakar sejarah sebagai naib presiden wanita AS.

Ia juga sekali gus menjadi naib presiden pertama yang bukan berkulit putih di negara berkenaan.

Pengumuman berkenaan dibuat Biden, 77, menerusi sosial media.

"Saya berbangga dapat bersama beliau (Harris) sebagai rakan dalam kempen saya," katanya.

Harris, 55, dijangka dapat menarik pengundi muda dan wanita termasuk penduduk luar bandar yang tidak sukakan Trump.

Pemilihan wanita berketurunan India itu juga dapat dilihat sebagai usaha parti Demokrat untuk meraikan kepelbagaian dalam masyarakat.

Beliau adalah calon Naib Presiden wanita ketiga daripada parti utama.

Ia selepas calon daripada Parti Demokrat, Geraldine Ferraro pada 1984 dan Sarah Palin (Parti Republikan), pada 2008.

Selain itu, Hillary Clinton wanita yang menjadi calon Presiden AS tetapi kalah kepada Trump pada 2016.

Sekiranya Biden menang, beliau akan menjadi presiden tertua yang pernah menjawat jawatan berkenaan.

Berdasarkan spekulasi, beliau akan menggalas jawatan itu untuk satu penggal dan mempersiap naib presidennya sebagai pengganti.

Harris adalah anak kepada imigran dengan bapanya dari Jamaica dan ibunya dari India.

Beliau menjadi wanita kulit hitam pertama yang dipilih sebagai Peguam Negeri California.

Selain itu, beliau adalah wanita berkulit hitam kedua, dan wanita pertama berketurunan Asia Selatan yang terpilih sebagai ahli Senat AS

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 10:12 AM