SITI Mauliah (kiri) dan Dian Hartono memegang bayi mereka. FOTO Polis Indonesia
SITI Mauliah (kiri) dan Dian Hartono memegang bayi mereka. FOTO Polis Indonesia
Agensi

Jakarta: Selepas sekian lama menanti, Siti Mauliah, ibu kepada bayi yang tertukar di hospital di Indonesia, akan disatukan semula dengan anak kandungnya pada 29 September depan.

Straits Times melaporkan, dalam pertemuan itu nanti, dia dan wanita yang terambil bayinya akan mengembalikan anak mereka.

Difahamkan, akan ada tempoh penyesuaian untuk meredakan trauma pada bayi itu yang akan berpisah dengan ibu bapa yang mereka kenali sejak dilahirkan pada 18 Julai tahun lalu.

Terdahulu, media tempatan melaporkan kisah Siti Mauliah dan suami, M Thabrani yang mendedahkan bayi lelaki mereka tertukar di Hospital Sentosa, Bogor, Jawa Barat, pada 18 Julai tahun lalu.

Insiden itu hanya terbongkar setahun kemudian selepas Siti Maulia melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DN) di makmal Cempaka Putih, Jakarta.

Menurut Siti Mauliah, dia awalnya bahagia dengan kehadiran anak keempat yang dilahirkan secara pembedahan itu.

Bayi itu dilahirkan sihat, dan Siti Mauliah sempat menggendong anak keempatnya itu.

Sehari kemudian, anak Siti Mauliah itu dibawa oleh jururawat untuk menjalani rawatan di ruangan bayi.

Bagaimanapun, selepas itu, ketika hendak menyusukan anaknya, Siti Mauliah mengaku berasa janggal dan mengesyaki bayinya tertukar dengan yang lain.

Kecuaian pihak hospital didakwa menyebabkan anaknya ditukar dengan bayi lelaki lain yang dilahirkan pada hari sama.

Seminggu selepas membawa bayi itu pulang, Siti Mauliah mendapati andaiannya benar selepas mendapati gelang identiti pada kanak-kanak itu tertera nama wanita lain iaitu Dian Hartono.

Berikutan itu, Siti Mauliah kembali ke hospital untuk memaklumkan kepada jururawat mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, hospital menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa bayi tidak tertukar, sebaliknya hanya gelang.

Naluri keibuan Siti Mauliah mendorongnya mencari Dian, namun wanita itu juga tidak percaya bahawa bayinya itu tertukar.

Bagaimanapun, semuanya terungkai apabila polis tempatan, baru-baru ini, mengesahkan bahawa bayi itu tertukar berdasarkan keputusan ujian DNA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 2:24 PM