SITI Maulia menyedari bayi itu bukanlah anaknya selepas ujian DNA di sebuah makmal di Jakarta. FOTO Agensi
SITI Maulia menyedari bayi itu bukanlah anaknya selepas ujian DNA di sebuah makmal di Jakarta. FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Siti Maulia, ibu kepada bayi yang tertukar di hospital, mengharapkan bantuan semua pihak untuk mengesan anaknya itu.

"Minta tolong segera cari anak saya, tolong kembalikan ke pangkuan saya. Saya mohon sangat ," luah Siti Maulia, 37, ketika ditemui di rumahnya, Kampung Cibeuten daerah Bogor, Jawa Barat, Jumaat lalu.

Menurut Siti Maulia, dia sudah meminta bantuan pihak hospital untuk mencari anak kandungnya.

Dia turut memohon bantuan polis untuk melakukan perbincangan dengan pihak berkaitan.

Terdahulu, media tempatan melaporkan kisah Siti Maulia dan suami, M Thabrani yang mendedahkan bayi lelaki mereka tertukar di Hospital Sentosa, Bogor, Jawa Barat, pada 18 Julai lalu.

Insiden itu hanya terbongkar setahun kemudian selepas Siti Maulia melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DN) di makmal Cempaka Putih, Jakarta.

Menurut Siti Maulia, dia awalnya bahagia dengan kehadiran anak keempat yang dilahirkan secara pembedahan itu.

Bayi itu dilahirkan sihat, dan Siti Maulia sempat menggendong anak keempatnya itu. Sehari kemudian, anak Siti Maulia dibawa oleh jururawat untuk menjalani rawatan di ruangan bayi.

Bagaimanapun, ketika hendak menyusukan anaknya, Siti Maulia mengaku berasa janggal dan curiga bahawa bayinya tertukar dengan yang lain.

"Saya melahirkan anak pada Isnin. (Pada) Selasa (saya) menimang bayi. Pada 6 pagi Rabu, saya berasa bayi itu berbeza kerana baju asalnya berwarna kuning tetapi jadi merah jambu.

"Daripada bentuk fizikal, muka, rambut, dan kulit berbeza. Bayi saya... rambutnya tipis, tidak tebal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 1:23 PM