LAURA Ilg sempat menghubungi talian kecemasan selepas ditembak oleh anak lelakinya yang berusia dua tahun.
LAURA Ilg sempat menghubungi talian kecemasan selepas ditembak oleh anak lelakinya yang berusia dua tahun.
AFP

Washington: Wanita hamil bersama bayi dikandungnya di Ohio Amerika Syarikat, terbunuh minggu lalu, selepas anak lelakinya berusia dua tahun menembaknya menggunakan pistol yang ditinggalkan di dalam rumah.

Ketua Polis David Smith berkata, mangsa, Laura Ilg, 31, sempat menghubungi talian kecemasan pada 16 Jun lalu.

Katanya, wanita itu dalam keadaan sedar sempat memberitahu polis yang tiba di rumahnya mengenai dia tidak tahu bagaimana anaknya itu masuk ke bilik tidur yang biasanya dikunci dan mengambil pistol terbabit.

"Dia menjelaskan sedang mencuci pakaian. Dia hamil 33 minggu dan anak lelakinya yang berusia dua tahun secara tidak sengaja menembaknya di belakang, dengan pistol.

"Wanita itu dikejarkan ke hospital dan menjalani pembedahan kecemasan, namun bayi dalam kandungannya tidak dapat diselamatkan.

"Beberapa jam kemudian, wanita itu juga meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya," katanya kepada News 5 Cleveland.

Katanya, polis menemui sepucuk pistol jenis Sig Sauer Micro 9 mm di atas meja serta dua lagi senjata api.

Menurut laporan media, suami wanita itu yang tiada di rumah ketika kejadian mengaku senjata api itu adalah miliknya.

Tembakan secara tidak sengaja itu adalah yang terbaharu berlaku dalam kes seumpama itu di Amerika Syarikat, sebuah negara dengan kira-kira 330 juta orang dan kira-kira 400 juta senjata api.

Mac lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun secara tidak sengaja membunuh kakaknya yang berusia empat tahun dengan pistol berhampiran Houston, Texas, walaupun terdapat lima orang dewasa termasuk ibu bapa mereka di rumah mereka.

Menurut Pusat Penyelidikan Pew, kira-kira 40 peratus isi rumah AS mempunyai senjata api dengan kebanyakan daripada mereka termasuk kanak-kanak.

Namun, kurang separuh daripada isi rumah menyimpan senjata api itu dengan selamat, menurut Sekolah Kesihatan Awam, Universiti Johns Hopkins.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 10:17 AM