LOKASI kejadian. FOTO Agensi.
LOKASI kejadian. FOTO Agensi.
Agensi

SEORANG kanak-kanak lelaki di Georgia, Amerika Syarikat secara tidak sengaja menembak mati abangnya dengan pistol yang disangka alat permainan.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 12 tahun dikejarkan ke Hospital Wilayah Wellstar Spalding tetapi kemudian disahkan meninggal dunia.

Sebelum itu, mangsa bersama dua adiknya berusia lima dan tujuh tahun sedang bermain trampolin di belakang rumah mereka.

Mirror Online yang memetik kenyataan polis tempatan melaporkan, ketika bermain, adik bongsu mereka menemui pistol yang disangkakan alat permainan di kawasan semak berhampiran.

Seorang lagi kanak-kanak itu yang berusia lima tahun itu kemudian melepaskan tembakan ke dada abangnya untuk menunjukkan pistol mainan yang baru ditemuinya.

Dalam pada itu, polis mendedahkan ada menyerbu dan menggeledah sebuah rumah di kawasan berhampiran di mana pistol itu dijumpai, dua jam sebelumnya.

Ketika serbuan, polis menemui beg berisi pil ekstasi, tetapi tidak menemukan senjata api.

Bagaimanapun, suspek dikatakan berjaya meloloskan diri dengan melalui kawasan belakang rumah penduduk.

Susulan kejadian, Polis Griffin yang menyifatkan insiden itu sebagai kemalangan tragis kini giat memburu suspek yang membuang pistol berkenaan.

Ketuanya, Mike Yates berkata, ia kerana tindakan suspek menyebabkan kematian seorang kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 6:55 AM