ANJING baka bulldog Perancis. FOTO HIASAN
ANJING baka bulldog Perancis. FOTO HIASAN
Agensi

Miami: Pencuri dilaporkan melarikan 19 anjing baka bulldog Perancis selepas memecahkan tingkap dan masuk ke dalam sebuah rumah di Florida, Amerika Syarikat (AS).

Portal NDTV yang memetik hantaran Facebook Jabatan Polis Port S Lucie (PSLPD) melaporkan, anjing itu bernilai lebih daripada AS$100,000 (kira-kira RM470,850).

Berikutan itu, polis sedang berusaha menjejaki suspek yang disyaki merosakkan sebuah bilik tidur selain mencuri anjing berkenaan.

Menerusi hantaran sama, polis memaklumkan kejadian pecah rumah itu berlaku jam 11.30 pagi, Jumaat lalu, ketika penghuninya tiada di rumah.

Gambar rumah itu dikongsi di FB yang menunjukkan tingkap rumah itu yang pecah .

Polis berkata, suspek melarikan diri dengan menaiki kenderaan berwarna perak dengan kerosakan bampar hadapan.

Kapsyen siaran itu berbunyi, 'Baru terjadi - 19 (anjing) bulldog dicuri ketika pecah rumah'.

Menurut New York Post, laporan mengenai kecurian anjing bulldog Perancis semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ramai beranggapan nilai tinggi haiwan itu boleh menjadi punca berlakunya kecurian.

Anjing baka bulldog Perancis adalah baka anjing kedua paling popular di AS.

Ia dijual dengan harga antara AS$1,500 (kira-kira RM7,063) dan AS$4,500 (kira-kira RM21,188).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 12:17 PM