ANGGOTA MAQIS bersama anjing dalam sangkar yang cuba dibawa masuk dari Thailand untuk dibawa ke Singapura semalam. FOTO Ihsan MAQIS.
ANGGOTA MAQIS bersama anjing dalam sangkar yang cuba dibawa masuk dari Thailand untuk dibawa ke Singapura semalam. FOTO Ihsan MAQIS.
Mohd Rashidi Yusuf.


Pengkalan Hulu: Cubaan membawa masuk 23 ekor anjing bernilai RM20,000 dari Thailand untuk dibawa ke Singapura, gagal apabila berjaya dikesan pihak berkuasa di Pintu Masuk Kompleks ICQS Pengkalan Hulu, semalam.

Walaupun diletakkan dalam lapan sangkar berlainan dan disembunyikan dalam sebuah lori transit yang membawa buah-buahan, cubaan pihak terbabit berjaya dipatahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pengarah MAQIS Perak, Rozita Superman, berkata semua anjing yang diletakkan dalam lapan sangkar adalah baka Pomeranian, Shih Tzu Dan French Bulldog.

"Selepas pemeriksaan dibuat, kesemua anjing daripada pelbagai jenis baka itu didapati tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan oleh MAQIS dan Sijil Kesihatan dari negara asal.

"Bagi setiap kemasukan keluaran pertanian, termasuk haiwan peliharaan perlulah mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan haiwan peliharaan yang masuk ke dalam negara bebas dari sebarang penyakit," katanya.

Rozita berkata, kegagalan untuk mengemukakan permit import adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011 [Akta 728] yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 2:43 PM