ANEKA ‘Slickianna’ Townsend, FOTO Agensi
ANEKA ‘Slickianna’ Townsend, FOTO Agensi
Agensi

Kingston: Mayat seorang wanita muda yang ditemukan terapung di laut di Jamaica dan dikenal pasti sebagai pempengaruh terkenal negara itu dan polis sudah mengenal pasti suspek, baru-baru ini.

Portal Mirror UK melaporkan, Aneka 'Slickianna' Townsend, 35, yang mempunyai 320,000 pengikut di Instagram ditemukan di bandar pesisir pantai Reading, St Andrew Parish, Jamaica, jam 9.30 pagi, pada 21 Oktober lalu.

Mayat Aneka yang separa reput ditemukan oleh pengunjung pantai yang kemudian segera memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa tempatan.

Saksi berkata, pihaknya melihat pihak berkuasa mengeluarkan tuala yang kelihatan berlumuran darah serta rambut palsu dari tempat kejadian.

Susulan penemuan itu, polis kemudian mengesahkan mangsa ialah Aneka, seorang pempengaruh fesyen dan duta jenama yang berasal dari St Andrew Parish.

Menurut laporan tempatan, identiti mangsa dicam oleh ibunya pada hari sama.

Polis sejak itu menamakan Rushane 'Chizzie' Patterson sebagai orang yang bertanggungjawab dalam kematian wanita itu.

Aneka yang meninggalkan seorang anak lelaki, terkenal dengan kandungan fesyennya dan menyokong beberapa jenama, serta menjalankan kedai pakaian dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 9:37 AM