Dr Anthony Fauci. - FOTO Reuters
Dr Anthony Fauci. - FOTO Reuters
AP

Washington: Pakar penyakit berjangkit terkemuka Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci mengumumkan semalam bahawa beliau akan meninggalkan kerajaan persekutuan pada Disember selepas lebih 50 tahun berkhidmat.

Fauci, yang berkhidmat sebagai ketua penasihat perubatan Presiden Joe Biden, menjadi pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan dan ketua Makmal Imunoregulasi NIAID.

Beliau adalah pemimpin dalam tindak balas persekutuan terhadap HIV/AIDS dan penyakit berjangkit lain walaupun sebelum Covid-19 melanda.

"Saya akan meninggalkan jawatan ini pada Disember tahun ini untuk meneruskan babak seterusnya dalam kerjaya saya," kata Fauci dalam satu kenyataan dan turut menyatakan peranan itu sebagai 'penghormatan seumur hidup'.

Fauci menjadi wajah tindak balas kerajaan terhadap Covid-19 ketika ia melanda pada awal 2020, dengan penampilan yang kerap di berita televisyen dan pada sidang akhbar harian dengan pegawai Rumah Putih, termasuklah bersama Presiden Donald Trump ketika itu.

Namun, apabila wabak itu semakin meruncing, Fauci tidak disukai oleh Trump dan pegawainya apabila desakan beliau untuk terus berhati-hati bercanggah dengan keinginan bekas presiden itu untuk kembali normal dan mempromosikan terapi virus yang tidak terbukti.

Fauci juga mendapati dirinya terpinggir oleh pentadbiran Trump, semakin dipinggirkan daripada membuat keputusan utama mengenai tindak balas persekutuan, namun beliau terus bercakap secara terbuka dalam wawancara media termasuklah mengenai penjarakan sosial dan memakai pelitup muka di tempat awam sebelum adanya vaksin Covid-19.

Beliau turut menjadi subjek serangan politik dan ancaman bunuh, malah diberikan keselamatan untuk perlindungannya.

Apabila Biden memenangi Rumah Putih, beliau meminta Fauci untuk kekal dalam pentadbirannya dengan kapasiti yang lebih tinggi.

Presiden itu memuji Fauci dalam satu kenyataan dengan berkata, 'sama ada anda pernah bertemu dengannya secara peribadi atau tidak, beliau sudah menyentuh kehidupan semua rakyat AS dengan kerjanya. Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas perkhidmatan awam beliau. AS lebih kuat, lebih berdaya tahan dan lebih sihat kerana dia'.

Fauci berkata, walaupun bersara daripada perkhidmatan persekutuan, beliau merancang untuk terus bekerja.

"Saya mahu menggunakan apa yang saya pelajari sebagai Pengarah NIAID untuk terus memajukan sains dan kesihatan awam serta memberi inspirasi dan mentor kepada generasi peneraju saintifik akan datang sambil mereka membantu menyediakan dunia untuk menghadapi ancaman penyakit berjangkit masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 4:10 PM