GAMBAR fail. FOTO EPA
GAMBAR fail. FOTO EPA
BERNAMA

Moscow: Penggantungan sementara penggunaan vaksin Covid-19 Johnson & Johnson di Amerika Syarikat (AS) kemungkinan akan ditamatkan pada Jumaat, lapor Sputnik menurut jangkaan pakar penyakit berjangkit AS, Anthony Fauci.

"Saya jangka kita akan terus gunakannya. Saya yakin mereka tidak akan batalkan.

"Saya fikir itu tidak akan berlaku. Mungkin akan ada satu peringatan atau sekatan atau penilaian risiko," kata Fauci dalam satu rancangan bual bicara pada Ahad.

Penggunaan vaksin Johnson & Johnson dihentikan awal bulan ini selepas berlaku enam kes darah beku yang dikombinasikan dengan platelet darah rendah membabitkan wanita berusia antara 18 dan 48 tahun.

Gejala itu muncul antara 6 hingga 13 hari selepas vaksinasi.

Menurut Penyelaras Tindak Balas Covid-19 Rumah Putih Jeff Zients, keputusan untuk menghentikan penggunaan vaksin itu tidak akan mempengaruhi rancangan vaksinasi pentadbiran Presiden Joe Biden.

Pada akhir Januari, Biden berikrar akan memberikan 100 juta vaksin Covid-19 dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya. Kemudian, pada Mac beliau menetapkan sasaran baharu iaitu sebanyak 200 juta suntikan.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS pada Ahad berkata, secara keseluruhan, 131,247,546 rakyat Amerika atau sekitar 39.5 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 84,263,408 (lebih 25 peratus) sudah divaksin sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 2:56 PM