ANDREW Abdullah. FOTO Reuters
ANDREW Abdullah. FOTO Reuters
AFP

New York: Polis bandar ini menahan seorang lelaki berusia 25 tahun, pada Selasa, kerana disyaki menembak mati seorang eksekutif bank di kereta api bawah tanah bandar itu pada hujung minggu lalu.

Andrew Abdullah, yang identiti dan gambarnya didedahkan ditahan selepas dua hari diburu dan penahanannya disahkan oleh Polis New York menerusi ciapan di Twitter.

Menurut New York Times, Andrew menyerah diri kepada penguat kuasa undang-undang di Chinatown dekat bahagian selatan Manhattan.

Dia ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan pembunuhan Daniel Enriquez, 48, seorang eksekutif Goldman Sachs yang ditembak di dada pada tengah hari Ahad dengan peluru 9 milimeter, ketika menaiki kereta api bawah tanah yang dalam perjalanan antara Brooklyn dan Manhattan.

Media tempatan melaporkan, pembunuh menembak mangsanya tanpa sebab yang jelas sebelum keluar daripada kereta api secara 'senyap-senyap', seterusnya menyerahkan pistol kepada gelandangan di stesen.

Dia kemudian menghilangkan diri.

Insiden pembunuhan itu memberi isyarat dan kejutan baru melalui bandar yang kacau-bilau akibat peningkatan jenayah senjata api yang mematikan.

Bulan lalu, seorang lelaki melancarkan bom asap dalam kereta bawah tanah Brooklyn dan melepaskan tembakan ke arah puluhan penumpang yang ketakutan hingga mencederakan 23 individu.

Sementara itu, Datuk Bandar Demokrat New York Eric Adams, yang juga bekas pegawai polis dilantik pada akhir tahun lalu dengan ikrar untuk menangani jenayah dan penyebaran senjata api haram di bandar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 10:01 AM