PESERTA tunjuk perasaan memegang gambar Christina Yuna Lee dalam himpunan menentang keganasan ke atas penduduk Asia Amerika di Sara D Roosevelt Park, 14 Februari lalu. FOTO AFP.
PESERTA tunjuk perasaan memegang gambar Christina Yuna Lee dalam himpunan menentang keganasan ke atas penduduk Asia Amerika di Sara D Roosevelt Park, 14 Februari lalu. FOTO AFP.
BERNAMA

New York: Dua pembunuhan kejam dalam tempoh kurang sebulan menyebabkan wanita Asia Amerika di bandar New York City berasa gementar.

Di kawasan metropolitan di seluruh negara, mereka mengatakan ada sebab untuk mereka sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga, lapor Xinhua memetik laporan NBC.

Sekitar jam 4 pagi Ahad, Christina Yuna Lee, 35, ditemui mati di dalam bilik air akibat ditikam 40 kali, selepas seorang lelaki, Assamad Nash didakwa secara senyap mengekori mangsa ke pangsapurinya di Manhattan, menurut laporan itu.

Kematiannya menyusul selepas pembunuhan Michelle Go, 40, pada 15 Januari lalu yang ditolak jatuh ke atas landasan stesen kereta api bawah tanah Times Square ketika kereta api tiba di stesen itu.

Pada majlis memperingatinya, Datuk Bandar New York City Eric Adams berkata, "Saya sekali lagi berikrar untuk memastikan perkara ini tidak akan berlaku di bandar ini."

Beberapa wanita yang tinggal di bandar itu dipetik sebagai berkata kenyataan seperti itu seolah-olah tidak memberi jaminan.

Dengan kematian Lee di rumahnya sendiri, mereka mengatakan ruang yang selamat buat mereka di sekitar New York semakin hilang.

Kesan keganasan dan perkauman yang tidak seimbang dirasai oleh wanita dalam kumpulan sasaran, kata Pengarah Eksekutif Forum Wanita Amerika Asia Pasifik Nasional, Sung Yeon Choimorrow dan kekejaman yang dialami oleh warga Asia Amerika telah lama berlaku sebelum kejadian itu.

"Apabila keganasan berkaitan pandemik, khususnya terhadap orang Asia Timur mula berlaku, orang ramai bercakap mengenainya seolah-olah ia baru pertama kali berlaku. Orang ramai mula memberi perhatian. Tiba-tiba sekarang mereka mahu tahu dan berminat," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 1:01 PM