ORANG ramai menunggu di pintu sempadan di El Paso, Texas untuk memasuki Amerika Syarikat susulan pembukaan semula sempadan. FOTO AFP.
ORANG ramai menunggu di pintu sempadan di El Paso, Texas untuk memasuki Amerika Syarikat susulan pembukaan semula sempadan. FOTO AFP.
AFP

New York: Pengembara dan ahli keluarga yang terpisah menarik nafas lega serta meraikan pembukaan semula sempadan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin kepada penerima lengkap vaksin Covid-19.

Ia sekali gus mengakhiri sekatan perjalanan selama 20 bulan akibat pandemik itu.

Dari Jambatan Rainbow di sempadan AS-Kanada hingga ke persimpangan Tijuana Mexico di San Ysidro, California dapat dilihat pelbagai kenderaan dan pejalan kaki bersedia sejak awal pagi di pintu masuk untuk menyeberangi sempadan dan bersama ahli keluarga mereka.

Di lapangan terbang dan pelabuhan AS, kelihatan penduduk memeluk ahli keluarga buat pertama kalinya selepas pandemik Covid-19 melanda dunia, yang menyebabkan lebih lima juta kematian serta keruntuhan ekonomi.

Jeannette Feuth  dari Belanda memeluk anaknya, Femke dan disaksikan cucu, Phila selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabang Dulles, Virginia. FOTO AFP.
Jeannette Feuth dari Belanda memeluk anaknya, Femke dan disaksikan cucu, Phila selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabang Dulles, Virginia. FOTO AFP.

Di Eropah, penumpang di lapangan terbang teruja untuk menaiki pesawat ke AS, sementara mereka yang memasuki negara menerusi pengangkutan darat pula berhadapan masa menunggu berjam-jam di bawah pemantauan penguat kuasa sempadan.

Selain itu, penumpang pesawat Eropah pertama yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy (JFK) di bawah peraturan baharu, disambut dengan sorakan dan tepukan.

Seorang daripada penumpang itu, Alison Henry, 63, kelihatan menangis kegembiraan sebaik memeluk anaknya yang menunggu ketibaan beliau di lapangan terbang berkenaan.

"Saya sungguh tidak percaya, sudah dua setengah tahun!" katanya yang menaiki penerbangan dari London.

Louise Erebara pula tidak sabar menunggu ketibaan kakak dan abang iparnya di balai ketibaan lapangan terbang berkenaan.

Katanya, mereka tidak berjumpa selama 730 hari berikutan pandemik yang berlaku.

"Ia sangat menyedihkan apabila kita tidak tahu bila akan berjumpa semula disebabkan Covid-19 ini, (dan) tidak pasti sama ada sempadan akan dibuka atau tidak.

"Tapi, hari ini adalah harinya (penyatuan semula)," katanya.

Sementara itu, di Lapangan Terbang Heathrow London, dua pesawat syarikat pesaing British Airways dan Virgin Atlantic berlepas ke New York pada masa sama bagi meraikan detik berkenaan.

Syarikat penerbangan turut menambah bilangan penerbangan transatlantik dan merancang untuk menggunakan pesawat lebih besar bagi menampung permintaan penumpang.

Sekatan perjalanan dikenakan pada awal 2020 oleh Presiden ketika itu, Donald Trump dan ia dikekalkan penggantinya, Joe Biden sebagai usaha membendung penularan Covid-19.

Trump pada mulanya menutup sempadan AS kepada pelancong dari China pada Februari 2020, namun melanjutkan sekatan itu sebulan kemudian yang membabitkan negara lain termasuk Kesatuan Eropah, Britain dan Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 11:06 AM