VAKSIN Covid-19 Johnson &Johnson. FOTO fail AFP
VAKSIN Covid-19 Johnson &Johnson. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Pengeluar vaksin Johnson & Johnson (J&J) memohon kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) untuk kebenaran suntikan dos penggalak Covid-19 bagi individu berusia 18 tahun ke atas.

"Program klinikal kami mendapati dos penggalak Covid-19 meningkatkan tahap perlindungan bagi mereka yang menerima sekali suntikan kepada 94 peratus," kata Mathai Mammen, ketua penyelidikan dan pengembangan global di J&J.

J&J mengatakan suntikan penggalak diberikan enam bulan selepas vaksin pertama, tahap antibodi akan meningkat sembilan kali ganda selepas seminggu.

Antibodi akan terus meningkat kepada 12 kali ganda lebih tinggi empat minggu selepas itu, tanpa mengira usia. "Kami menantikan perbincangan dengan FDA dan pihak berkuasa kesihatan lain untuk menyokong keputusan mengenai suntikan dos penggalak ini," kata Mammen.

Pentadbiran Presiden Joe Biden mengumumkan rancangan pada Ogos lalu untuk rakyat Amerika yang divaksin dengan Pfizer dan Moderna mRNA supaya mendapatkan suntikan dos ketiga.

Biden secara peribadi menerima suntikan penggalak vaksin Covid-19 bulan lalu dan memberitahu sesetengah rakyat Amerika masih menolak vaksinasi dan mereka merosakkan negara.

Presiden itu menerima dos ketiga vaksin Pfizer sesuai dengan panduan kesihatan yang baru diluluskan, yang membolehkan suntikan dos penggalak diberikan kepada mereka berusia 65 tahun ke atas.

Selain itu, mereka yang layak menerima suntikan dos penggalak adalah orang dewasa dengan keadaan perubatan berisiko tinggi dan mereka yang bekerja di mana sering terdedah kepada virus.

FDA pada Selasa mengatakan jawatankuasa penasihatnya akan bermesyuarat pada 14 Oktober untuk membincangkan kebenaran penggunaan kecemasan mengenai suntikan dos penggalak Moderna dan pada 15 Oktober untuk membincangkan dos penggalak J&J.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 9:28 AM