POLIS mengawal di luar rumah Nancy Pelosi susulan kejadian berkenaan. FOTO AP
POLIS mengawal di luar rumah Nancy Pelosi susulan kejadian berkenaan. FOTO AP
AFP

San Francisco: Paul Pelosi, suami kepada Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Nancy mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan.

Kenyataan itu susulan kejadian di mana seorang lelaki memecah masuk ke dalam rumah pasangan berkenaan di sini, dan memukul kepala suami Nancy, Paul Pelosi, 82, dengan tukul.

Lelaki yang dituduh, David DePape, 42, didakwa berniat untuk mengikat Nancy dan memecahkan tempurung lututnya, tetapi hanya menemui suami wanita itu.

"Paul kekal di bawah jagaan doktor kerana masih berada dalam proses pemulihan yang panjang," kata Nancy dalam kenyataan akhbar.

DePape ditahan minggu lalu dan mengaku tidak bersalah atas cubaan membunuh dan pertuduhan lain ketika dihadapkan di mahkamah di San Francisco, Selasa lalu.

Menurut pemfailan pendakwa raya negeri, DePape mengejutkan Paul Pelosi dari tidur di katilnya pada awal pagi Jumaat, sambil memegang tukul dan beberapa ikatan zip plastik.

Lelaki memberitahu Paul Pelosi bahawa dia datang untuk mencari Nancy Pelosi kerana wanita itu adalah "(individu) nombor tiga (selepas) presiden," dan "kita perlu menyingkirkan mereka semua."

Dalam ucapan Rabu lalu, Presiden AS Joe Biden mengaitkan serangan itu dengan keganasan politik yang dicetuskan oleh penyokong bekas presiden Donald Trump terhadap Kongres pada 6 Januari 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 10:04 AM