TANGKAP layar daripada video tular di media sosial X menunjukkan insiden berkenaan.
TANGKAP layar daripada video tular di media sosial X menunjukkan insiden berkenaan.
AFP

Dar es Salaam: Dua pesawat penumpang yang membawa pelancong terhempas di Taman Negara Tanzania, Selasa lalu, dengan semua penumpang terselamat tanpa kecederaan.

Pihak berkuasa Taman Tanzania (Tanapa) mengesahkan, kedua-dua insiden itu membabitkan pesawat dikendalikan syarikat penerbangan domestik Unity Air.

Katanya, kejadian itu berlaku di Taman Negara Mikumi, Selasa lalu.

"Seramai 60 penumpang serta tujuh anak kapal berada dalam dua penerbangan itu," katanya dalam kenyataan berasingan.

Tanapa berkata, kejadian pertama membabitkan sebuah pesawat Embraer yang membawa 30 penumpang, dua juruterbang dan seorang pramugari dalam perjalanan dari pulau percutian Zanzibar mengalami masalah teknikal apabila ia mendarat di lapangan terbang Kikoboga di taman itu.

"Juruterbang pesawat serta kakitangan sedaya upaya berusaha keras untuk memastikan tiada sebarang bahaya berlaku.

"Insiden kedua beberapa jam kemudian membabitkan sebuah lagi pesawat Embraer, yang turut membawa 30 penumpang serta dua juruterbang dan dua pramugari yang sedang menuju ke Zanzibar.

"Punca nahas pesawat masih belum diketahui," kata agensi itu.

Pada November tahun lalu, 19 orang maut apabila pesawat Precision Air terhempas di Tasik Victoria dalam kemalangan penerbangan terburuk di Tanzania selama beberapa dekad.

Taman Negara Mikumi terletak di timur negara itu dan menjadi habitat kepada pelbagai hidupan liar termasuk singa, zirafah, gajah dan badak air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 11:18 AM