IMEJ satelit menunjukkan kapal berkenaan. FOTO CNES / AFP
IMEJ satelit menunjukkan kapal berkenaan. FOTO CNES / AFP
AFP

Kaherah: Pemilik-pemilik kepada sebuah kapal kontena yang tersadai selepas menghalang laluan di Terusan Suez pada Khamis berkata, pihaknya berdepan dengan masalah untuk memastikan kapal itu dapat meneruskan semula pelayaran, ketika Mesir menutup sementara terusan berkenaan yang menjadi antara laluan paling sibuk di dunia itu.

Pasukan tindakan memberi amaran penutupan itu mungkin berlanjutan sehingga beberapa hari atau minggu, menyebabkan pemilik kapal lain terpaksa mengambil laluan lain di selatan benua Afrika sekali gus memberi kesan kepada jaringan bekalan global.

Pada hari ketiga krisis itu, syarikat perkapalan global Maersk dan Hapag-Lloyd dari Jerman berkata, pihaknya mempertimbang untuk melakukan pelayaran mengelilingi benua Afrika.

Terusan Suez memendekkan pelayaran antara Asia dan Eropah. Laluan Singapura-Rotterdam, misalnya, adalah 6,000 kilometer dan dua minggu lebih pendek apabila menerusi terusan berkenaan berbanding melalui Tanjung Harapan di selatan Afrika.

Ketika ini, Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) bertungkus lumus untuk memastikan kapal tangki MV Ever Given sepanjang 400 meter dan seberat 200,000 tan itu dapat belayar semula selepas tersadai di terusan berkenaan kerana ribut pasir.

Bot tunda, kapal korek dan peralatan lain dihantar ke lokasi tetapi kapal itu masih tidak dapat bergerak.

Sementara itu, imej satelit Planet Labs Inc menunjukkan kapal sepanjang empat kali padang bola sepak itu, melintang di terusan berkenaan.

Hampir 19,000 kapal menggunakan terusan berkenaan pada tahun lalu dengan muatan kargo keseluruhan melebihi 1 bilion tan, menurut SCA.

Mesir memperoleh pendapatan AS$5.61 bilion (RM23.27 bilion) daripadanya.

Trafik di laluan itu mengalami gangguan beberapa kali pada masa lalu, terutama ketika Perang Arab-Israel pada separuh kedua abad ke-20.

Ia juga ditutup selama enam bulan ketika pemiliknegaraan Mesir terhadap operasi terusan itu pada 1956, sehingga Britain, Perancis dan Israel terpaksa campur tangan.

Pada Perang Enam Hari 1967, Mesir menyekat penggunaan terusan itu daripada Israel yang berlanjutan sehingga 1975.

Pada 2018, terusan itu ditutup sementara selepas sebuah kapal pengangkut Greece menghadapi masalah enjin, dan menyebabkan perlanggaran membabitkan lima kapal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 10:26 AM