IMEJ satelit menunjukkan kapal berkenaan ketika kejadian Mac lalu. FOTO CNES / AFP
IMEJ satelit menunjukkan kapal berkenaan ketika kejadian Mac lalu. FOTO CNES / AFP
AFP

Kaherah: Kapal kontena Ever Given yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana menghalang Terusan Suez Mac lalu akan dilepaskan Rabu ini, menurut pihak berkuasa terusan.

Mesir menahan kapal milik syarikat Jepun, Shoei Kisen Kaisha dan menuntut pampasan ganti rugi hasil terusan serta kos pelepasan dan kerosakan laluan air yang menghubungkan Asia dan Eropah.

Kapal seberat 200,000 tan tersekat secara melintang ketika ribut pasir pada 23 Mac lalu dan memerlukan usaha besar-besaran selama enam hari untuk melepaskannya.

Mesir kehilangan pendapatan harian antara AS$12 juta (RM49.55 juta) dan AS$15 juta (RM61.95 juta) sepanjang tempoh berkenaan, menurut pihak berkuasa terusan.

Kerja-kerja mengapungkan kapal berkenaan juga mengakibatkan kerosakan teruk terhadap terusan itu.

Minggu lalu, Ketua Lembaga Terusan Suez, Osama Rabie dilaporkan berkata Mesir menandatangani perjanjian dengan pemilik Ever Given sekali gus memuktamadkan nilai pampasan.

Mesir mengurangkan tuntutan daripada AS$900 juta (RM3.7 bilion) kepada AS$550 juta (RM2.3 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 8:35 AM