NIGERIA menguatkuasakan peraturan pemakaian pelitup muka namun kurang dipatuhi rakyatnya. FOTO AFP.
NIGERIA menguatkuasakan peraturan pemakaian pelitup muka namun kurang dipatuhi rakyatnya. FOTO AFP.
AFP

Abuja: Pihak berkuasa Nigeria menubuhkan mahkamah bergerak bagi mendakwa individu dan institusi di sekitar ibu negara yang melanggar peraturan dalam mengurangkan penyebaran wabak Covid-19.

Negara itu ketika ini berdepan gelombang kedua jangkitan dengan 143,516 kes baharu dan 1,710 kematian, yang mana jumlahnya dipercayai lebih rendah berbanding angka sebenar disebabkan ujian saringan yang rendah.

Nigeria menguatkuasakan peraturan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di seluruh negara namun, kurang dipatuhi rakyatnya.

Susulan itu, sejak awal Februari lalu, Pasukan Khas Covid-19 Abuja mendakwa pesalah di mahkamah terbabit yang ditempatkan di Eagle Square, tidak jauh dari Mahkamah Agung dan Majlis Negara.

"Hari ini kita mendakwa 46 orang, tiga daripadanya di bawah umur," kata pengerusi pasukan itu, Attah Ikharo pada Rabu.

Peguam Nnamdi John pula memberitahu, individu yang mengaku bersalah kerana tidak memakai pelitup muka didenda 2,000 naira (RM21.21).

Hukuman lain atas kesalahan melanggar peraturan berkaitan pencegahan Covid-19 termasuk khidmat masyarakat dan penjara.

Pada Januari, Presiden Muhammadu Buhari menandatangani akta baharu yang menetapkan penjara enam bulan ke atas pesalah yang melanggar peraturan itu.

Pihak berkuasa itu juga berhasrat membangunkan dua lagi mahkamah bergerak dalam masa terdekat, sebagai langkah membantu mengurangkan penularan pandemik.

Varian baharu koronavirus ditemui baru-baru ini di Nigeria namun, masih kurang jelas sama ada ia lebih mudah menjangkiti atau pasif.

Negara itu dijangka menerima 16 juta dos vaksin AstraZeneca menerusi program Covax pada hujung bulan ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 9:57 AM