Pasukan penyelamat membantu penduduk kampung yang terkandas akibat banjir di daerah Chiplun, Maharashtra, India. - FOTO AFP
Pasukan penyelamat membantu penduduk kampung yang terkandas akibat banjir di daerah Chiplun, Maharashtra, India. - FOTO AFP
AFP

Mumbai: Seramai 36 individu terbunuh dalam tragedi tanah runtuh akibat hujan monsun di India, menurut pihak berkuasa hari ini.

Selain itu, sehingga 40 yang lain masih hilang selepas berlaku tanah runtuh di tiga lokasi berasingan semalam di daerah Raigad, di barat wilayah Maharashtra.

"Sekurang-kurangnya 35 hingga 40 orang masih terperangkap dan kami berusaha menyelamatkan mereka.

"Selain itu sehingga 15 orang masih hilang," katanya.

Sementara itu, tentera laut dan udara negara itu bergabung tenaga dalam operasi menyelamat selepas hujan lebat yang mengakibatkan banjir, menyebabkan ribuan penduduk terkandas.

Namun, pperasi menyelamat terhalang akibat tanah runtuh yang menyekat laluan termasuk jalan raya utama antara Mumbai dan Goa.

Paras air naik hingga 3.5 meter di kawasan Chiplun, sebuah kota 250 kilometer dari Mumbai, selepas hujan tanpa henti selama 24 jam yang menyebabkan air sungai Vashishti melimpah, menenggelamkan jalan dan rumah.

Tentera Laut India mengerahkan tujuh pasukan penyelamat menggunakan bot pelampung, dilengkapi jaket keselamatan dan bot penyelamat ke kawasan terjejas.

Helikopter turut digunakan untuk mengeluarkan penduduk yang terkandas di kawasan paling teruk terjejas selain pasukan penyelam turut dikerah menyelamatkan mangsa.

Jabatan Meteorologi India mengeluarkan amaran merah untuk beberapa wilayah di negeri ini, dengan ramalan menunjukkan hujan lebat akan berterusan untuk tempoh beberapa hari.

Banjir dan tanah runtuh perkara biasa ketika musim monsun berbahaya di India antara Jun dan September, sehingga ada yang mengakibatkan bangunan serta tembok konkrit runtuh.

Hujan juga melimpahi pusat rawatan air, sehingga menjejaskan bekalannya di sebahagian besar wilayah di Mumbai, yang dihuni 20 juta penduduk, kata pihak berkuasa awam.

Bulan lalu, 12 orang terbunuh ketika sebuah bangunan runtuh di Mumbai, sementara pada September tahun lalu, 39 maut apabila sebuah blok pangsapuri tiga tingkat runtuh di Bhiwandi berhampiran ibu kota kewangan itu.

Pada 2013, kira-kira 6,000 maut selepas banjir kilat dan tanah runtuh di beberapa kampung di wilayah Uttarakhand di India, akibat sungai yang melimpah selepas hujan monsun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 8:49 PM