Paris Hilton turut membuat ‘pengumuman’ untuk bertanding bagi merebut gelaran Presiden AS.
Paris Hilton turut membuat ‘pengumuman’ untuk bertanding bagi merebut gelaran Presiden AS.
Agensi

Washington: Selepas penyanyi rap, Kanye West, mengumumkan untuk bertanding bagi merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) tahun ini, ramai selebriti menganggap ia adalah strategi untuk mendapatkan publisiti.

Beberapa selebriti tampil 'mengejek' pengumuman West termasuk personaliti media Amerika, Paris Hilton.

Hilton turut sama membuat 'pengumuman' untuk bertanding bagi merebut gelaran Presiden AS.

Straits Times melaporkan, selebriti berusia 39 tahun itu memuat naik gambarnya berpakaian sut merah jambu dengan imej Rumah Putih berwarna senada sebagai latar belakang.

Gambar itu turut memaparkan ayat "Paris untuk Presiden" dalam tipografi Barbie berwarna merah jambu.

Dia juga menghasilkan slogan kempen "Make America Hot Again" yang berbunyi seakan-akan slogan dilaungkan Trump pada 2016 iaitu "Make America Great Again".

Hilton turut memuat naik video kononnya dia ditemu ramah dan mencalonkan penyanyi, Rihanna sebagai pesaingnya.

Selasa lalu, dia turut memuat naik gambar yang disunting memaparkannya baring di Resolute Desk dengan keterangan "Saya membuat keputusan bahawa pejabat ini perlukan hiasan semula dengan sentuhan wanita."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 9:10 PM